Ketua Audit Negara Diminta Padam 3 Isu Dalam Audit 1MDB

Kes perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1DMB, K Arul Kanda berhubung pindaan laporan audit 1MDB masuk hari keempat hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Prosiding perbicaraan ditangguhkan

2.05 petang: Mahkamah Tinggi membenarkan perbicaraan ditangguhkan hari itu, dengan prosiding disambung semula pada pukul 9.30 pagi, Rabu minggu depan.


Audit 1MDB boleh siap dalam 5 bulan tapi lewat kerana sukar akses maklumat

1.55 petang: Bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang memberitahu mahkamah bahawa audit ke atas 1MDB dan kumpulan syarikatnya pada tahun 2015 boleh disiapkan dalam tempoh lima bulan.

Bagaimanapun, menurut saksi pendakwaan keenam itu, pengauditan yang dijalankan oleh sepasukan 12 pegawai dari Jabatan Audit Negara (JAN) sejak Mac 2015 mengambil masa kira-kira setahun disebabkan kesukaran mengakses maklumat yang diperlukan untuk audit.

“JAN menghadapi limitasi di mana beberapa dokumen asal sama ada ditangguhkan atau tidak pernah diserahkan oleh 1MDB sama sekali.

“Dokumen-dokumen ini adalah penting untuk pengauditan untuk mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta urus niaga yang berkaitan,” katanya kepada mahkamah.

Menurut keterangannya, antara dokumen yang tidak pernah sampai dari 1MDB termasuk penyata bank daripada institusi kewangan luar negara.

Beliau berkata mereka juga tidak mendapat akses kepada komputer atau server syarikat untuk membolehkan pasukan audit JAN menyemak maklumat semasa proses audit.


1.14 petang: Prosiding disambung semula, dengan bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang memberi keterangan dalam pemeriksaan utama.


12.53 tengah hari: Pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) Nor Salwani Muhammad buat sementara keluar daripada kandang saksi.

Mahkamah Tinggi membenarkan perkara itu sehingga pasukan pembelaan Najib Razak dan K Arul Kanda memanggilnya untuk soal balas.


Pasukan audit terkejut permintaan ubah laporan 1MDB

11.26 pagi: Anggota pasukan khas audit 1MDB terkejut apabila mereka mendengar rakaman suara mengenai mesyuarat yang membincangkan laporan mereka pada 24 Feb 2016.

Menurut pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) Nor Salwani Muhammad, beliau memutarkan rakaman mesyuarat itu kepada pasukannya sebaik sahaja kembali ke pejabat mereka selepas mengiringi Ketua Audit Negara Ambrin Buang dan seorang pegawai lain, Saadatul Nafisah untuk menghadiri mesyuarat itu.

Mereka kemudian mendengar butiran perbincangan termasuk permintaan agar Ambrin menggugurkan bahagian-bahagian tertentu laporan audit ke atas 1MDB.

Gopal: Apabila kamu ambil perakam suara dari kotak pensel, apa yang kamu lakukan dengannya.

Salwani: Saya turn off the tape, dan kemudian bawa balik ke pejabat.

Gopal: Apa yang berlaku di sana? Perlahan-lahan jelaskan pada mahkamah apa yang berlaku.

Salwani: Selepas menutup tape berkenaan saya kembali ke pejabat bersama pasukan audit guna kereta jabatan, dan kami jumpa ahli pasukan lain dalam bilik mesyuarat dan dengar apa yang telah dirakamkan bagi mengetahui perkara sebenar berlaku dalam mesyuarat.

Gopal: Selepas kamu dengar rakaman, apa yang kamu lakukan?

Salwani: Selepas mendengar kami sangat terkejut dengan apa berlaku, dan saya salinkan (rakaman suara) dalam hard disk yang dipunyai pasukan audit. Hard disk rasmi.

Gopal: Kenapa terkejut?

Salwani: Dengan apa yang berlaku apabila perkara yang dilaporkan dalam laporan KAN diminta digugurkan termasuk laporan dua penyata (kewangan).


Pegawai JAN selitkan perakam suara ketika mesyuarat sulit bincang audit 1MDB

11.05 pagi: Seorang pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) membuat pengakuan menggemparkan di mahkamah, apabila memberi keterangan bahawa beliau menyelitkan perakam suara ketika mesyuarat membincangkan laporan audit 1MDB pada Feb 2016.

Nor Salwani Muhammad memberitahu mahkamah beliau meletakkan perakam suara itu dalam kotak pensil bosnya, Saadatul Nafisah, kerana dia (Salwani) tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat.

Ini dilakukan tanpa pengetahuan Saadatul, kata Salwani.

Salwani berkata beliau berbuat demikian kerana perlu mengambil minit mesyuarat itu kerana ia melibatkan perbincangan mengenai laporan audit 1MDB yang disediakan oleh pasukannya.

Salwani adalah penyelaras pasukan khas Jabatan Audit Negara yang ditugaskan untuk menjalankan audit ke atas dana kekayaan berdaulat 1MDB pada tahun 2015. Beliau berkhidmat di bawah Saadatul yang merupakan ketua pasukan.

Untuk makluman, ini adalah rakaman suara mesyuarat pada 24 Feb 2016 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Ali Hamsa.

Turut mengambil bahagian dalam mesyuarat itu ialah Ketua Audit Negara pada ketika itu, Ambrin Buang; Saadatul Nafisah; itu Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Shukry Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda, dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.

Tempoh rakaman suara itu adalah selama kira-kira 2 jam dan 45 minit, yang diputarkan di mahkamah semalam.


Salwani selesai baca kenyataan saksi

10.58 pagi: Pegawai Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad selesai membacakan kenyataan saksi beliau.


Telefon Najib berdering semasa perbicaraan

10.50 pagi: Telefon bimbit milik bekas Perdana Menteri Najib Razak berdering semasa perbicaraan.

Ini menyebabkan pegawai Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad terhenti seketika ketika sedang membaca kenyataan saksi beliau.

Najib kemudian dilihat cepat-cepat mematikan telefon bimbitnya.

Timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram kemudian mengatakan telefon Najib perlu dirampas.

Nor Salwani kemudian menyambung semula membaca kenyataan saksi beliau.


Ambrin kelihatan sedih terima arahan pinda laporan audit 1MDB 

 

10.23 pagi: Mahkamah Tinggi diberitahu Ketua Audit Negara Ambrin Buang ketika itu kelihatan sedih apabila menerima arahan agar mengeluarkan tiga isu daripada laporan akhir audit 1MDB pada 24 Feb 2016.

Saksi pendakwaan kelima iaitu Pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad memberi keterangan itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Nor Salwani menjelaskan kepada Akram apa yang dia maksudkan bahawa Ambrin (gambar) ‘tiada senang’ dengan arahan yang diberikan untuk menghapuskan isu-isu daripada laporan audit akhir 1MDB.

“Apa yang saya maksudkan dengan ‘tidak senang’ adalah apabila beliau (Ambrin) kelihatan sedih dan rasa tercabar dengan apa yang berlaku.

“Ia berlaku apabila beliau mengeluarkan arahan itu (kepada Nor Salwani) dan selepas mesyuarat pada 24 Feb 2016,” kata beliau.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 24 Feb 2016, mesyuarat itu antaranya dihadiri Ambrin, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dan CEO 1MDB pada masa itu, K Arul Kanda.

Dalam mesyuarat itu, mahkamah diberitahu bahawa keputusan dicapai untuk menghapuskan beberapa isu daripada laporan audit akhir 1MDB, antaranya kewujudan dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah bagi tahun 2014.


Saksi dengar Ambrin bersungut ‘apa tujuan pengauditan’

11.17 pagi: Saksi memberitahu beliau mendengar rungutan Ketua Audit Negara Ambrin Buang selepas mesyuarat pada 24 Feb 2016, yang memutuskan pindaan kepada laporan audit akhir 1MDB.

Pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad memberitahu bahawa Ambrin berkata demikian ketika berada di bilik air, selepas mesyuarat itu.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram, Nor Salwani berkata selepas mesyuarat itu, dia melihat Ambrin dan seorang lagi pegawai JAN Saadatul Nafisah muncul dari mesyuarat itu, dan saksi mengekori Ambrin ke bilik air.

Ram Sri: Kamu perasan AMbrin nampak macam mana? Sikap beliau?

Nor Salwani: Dia kelihatan kecewa dengan apa yang berlaku. Ambrin kelihatan sangat sedih, beliau mengomel sesuatu kerana saya mengikutinya.

Ram Sri: Dia kelihatan susah hati?

Nor Salwani: Saya mengiutnya ke bilik air baginya untuk mencuci mukanya.

Ram Sri: Mengapa kamu berbuat demikian?

Nor Salwani: Saya takut dia mungkin jatuh, dia kelihatan lemah pada masa itu, dia kelihatan susah hati.

Sri Ram: Adakah dia kata apa-apa?

Nor Salwani: Dia mengomel “Apakah tujuan pengauditan”.


Pegawai simpan laporan asal audit 1MDB walaupun diarah musnahkan

10.15 pagi: Mahkamah diberitahu oleh seorang pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) bahawa beliau menyimpan salah satu daripada 60 salinan asal laporan audit 1MDB, di sebalik arahan orang atasannya untuk memusnahkannya.

Nor Salwani Muhammad memberi keterangan bahawa salinan itu, yang mempunyai label watermark ’09’ dan dikemukakan di mahkamah hari ini, adalah salah satu salinan yang kemudiannya diberikan kepada Ketua Audit Negara, Madinah Mohamad (gambar) yang dilantik pada tahun 2017.

Salinan itu juga diserahkan kepada SPRM untuk membantu siasatan terhadap dakwaan meminda laporan audit, yang menjadi subjek perbicaraan ini.

“Laporan audit 1MDB watermark 09 sepatutnya dimusnahkan untuk mengelakkan kebocoran maklumat seperti apa yang telah dilaporkan oleh media pada masa itu, dan saya telah diarahkan oleh Tan Sri Ambrin (Buang) untuk mematuhi perintah CGSO (Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan) sebagai Akta Rahsia Rasmi.

“Laporan itu (bagaimanapun) disimpan oleh saya untuk diberikan kepada Ketua Audit Negara yang baru. Dengan niat murni, saya telah menyerahkan laporan watermark 09 itu untuk membolehkan Ketua Audit Negara yang baru  mendapatkan gambaran menyeluruh tentang penemuan audit oleh pasukan audit (yang menjalankan audit mengenai 1MDB), “kata Salwani.

Menurut beliau, salinan itu juga disimpan sebagai rujukan sekiranya ia diperlukan, kerana lima salinan lain yang telah diedarkan pada 22 Feb 2016 untuk Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dan empat yang lain tidak pernah dikembalikan kepada JAN untuk dimusnahkan.

Empat salinan yang lain itu diberikan kepada Ketua Setiausaha Sulit Najib, Shukry Salleh, Ali Hamsa (ketika itu Ketua Setiausaha Negara), Arul Kanda (CEO 1MDB pada masa itu), Ambrin Buang (ketika itu Ketua Audit Negara), dan Dzulkifli Ahmad (ketika itu pegawai di Jabatan Peguam negara).


Laporan audit 1MDB yang asal dikemukakan sebagai bukti

10.10 pagi: Perbicaraan hari ini bermula dengan pihak pendakwaan mengemukakan laporan asal audit 1MDB, yang telah dicetak oleh Jabatan Audit Negara (JAN) pada 21 Feb 2016.

Ia merupakan satu-satunya laporan asal dalam simpanan Jabatan Audit Negara, yang sepatutnya dimusnahkan dan digantikan dengan versi yang dipinda kemudiannya.

Bukti ini diterima di mahkamah melalui keterangan pegawai JAN Nor Salwani Muhammad pagi ini, yang mengesahkan bahawa ia adalah salah satu daripada 60 salinan yang dihasilkan JAN ketika itu.

Untuk makluman, saksi itu semalam memberi keterangan bahawa JAN hanya membuat 60 salinan laporan itu, enam daripadanya diberikan kepada Najib, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, ketua setiausaha sulitnya Shukry Salleh, Ali Hamsa (ketika itu Ketua Setiausaha Negara), Arul Kanda (bekas CEO 1MDB), Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dan Dzulkifli Ahmad (ketika itu pegawai Jabatan Peguam Negara) pada 22 Feb 2016.


10.04 pagi: Tertuduh Najib Razak dan Arul Kanda memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.


10 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding  bermula.


9.53 pagi: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB K Arul Kanda memasuki Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.


Perbicaraan hari ini akan menyaksikan Pengarah Jabatan Audit Negara (sektor tadbir urus) Nor Salwani Muhammad menyambung keterangannya.

Saksi pendakwaan kelima itu akan membacakan kenyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan pada jam 10 pagi ini.

Semalam, beliau memberi keterangan bahawa pada Februari 2016, sebanyak 60 salinan draf laporan audit 1MDB  dicetak.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/500650