Najib Cuba Tunda Perbicaraan Sehingga PRU 15

Najib Razak gagal dalam cubaannya menunda perbicaraan membabitkan tuduhan meminda laporan audit 1MDB yang ditetapkan hari ini. Beliau dibicarakan bersama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan menolak permohonan itu semasa prosiding bermula pagi ini.

Jumaat lalu mahkamah mendengar permohonan pasukan pembelaan Najib dengan hujah, penangguhan berkenaan diperlukan untuk mereka menyediakan tertuduh menjadi untuk menjadi saksi pembelaan dalam satu lagi perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri itu, iaitu kes SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan mengubah wang haram bernilai RM42 juta. Perbicaraan itu dijadual bersambung mulai 3 Dis ini.

Bagaimanapun permohonan Najib di depan Mohamed Zaini itu mendapat bantahan daripada pihak Arul Kanda sendiri, selain pasukan pendakwaan.

Dengan keputusan itu perbicaraan ke atas Najib dan Arul Kanda dijangka diteruskan untuk hari pertama hari ini.

Pada Jumaat lalu hakim mengingatkan kedua-dua pihak bahawa prosiding akan diteruskan seperti sepatutnya jika permohonan penangguhan berkenaan ditolak.

Najib dituduh meminda laporan akhir audit 1MDB pada 12 Dis tahun lalu. Beliau dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Kes itu kemudian dipindahkan ke mahkamah tinggi pada 14 Mac lalu.

Pasukan pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, dan dibantu 12 timbalan pendakwa raya iaitu:

  • Nik Suhaimi Nik Sulaiman
  • Mohammad Al-Saifi Hashim
  • Ahmad Akram Gharib
  • Rozaliana Zakaria,
  • Mohamad Mustaffa P Kunyalam
  • Hazmida Harris Lee
  • Nadia Zulkefli
  • Tan Song Yan
  • Fatimah Hannah Abd Wahab
  • Munira Syahirah Mohamad Kamal
  • Nur Syakirin Yaccob
  • Wafa Zainal Abidin

Muhammad Shafiee Abdullah pula bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan Najib. Bersama beliau ialah:

  • Harvinderjit Singh
  • Wan Aizuddin Wan Mohammed
  • Muhammad Farhan Muhammad Shafee
  • Syahirah Hanapiah

Peguam bela Arul Kanda pula diketuai N Sivananthan dan dibantu Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Bekas presiden Umno itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/500205