UCAPAN MUJAHID DI KONVENSYEN AMANAH PULAU PINANG

Assalamualaikum w.w.brkth
Salam Sejahtera dan Salam Bersih

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, salawat dan salam kepada Rasul al Amin Rahmatan lil Alamin.

YB Tuan Haji Mohammad Bin Sabu, Presiden Parti Amanah merangkap Menteri Pertahanan Malaysia dan perasmi konvensyen kali ke 4 Amanah Pulau Pinang,
YB Tuan Chow Kuan Yow, Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri,
YB Tuan Bakhtiar, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Pulau Pinang merangkap Timbalan Menteri Pelancongan
Yang Berbahagia Tuan Azhar Setiausaha PPBM Pulau Pinang
Tetamu-tetamu dari Yb-Yb Pakatan Harapan serta AJK Parti Amanah Negeri Pulau Pinang, Ketua Pemuda, Ketua Awan dan seluruh para perwakilan, tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

1. Saya mengalu-alukan kedatangan semua perwakilan ke Konvensyen Amanah kali ke 4. Tanpa kita sedari Amanah Pulau Pinang sudah menjangkau 4 tahun, begitu pantas masa berlalu. Ketika Amanah diasaskan parti kita dikatakan sebagai parti yang terdiri dari golongan kecewa dan kerana itu Amanah tidak akan bertahan kecuali beberapa bulan atau paling lama setahun. Kita dicop sebagai parti serpihan PAS dan label ini menghantui penegak parti dan ahli-ahli Amanah yang terkesan dengan dengan label ini.

Loading...

2. Alhamdulillah setelah tahun ke 4, Amanah tetap kukuh dan teguh malah hari ini Amanah adalah komponen dari parti yang memerintah negara bersama rakan-rakannya membina Malaysia Baharu. Suara-suara sumbang terus memperlekehkan kita walaupun setiap kali mereka melakukan demikian mereka kecewa dengan hasil sebaliknya. Terkini seorang penganalisi mengubah jangka masa Amanah dengan mengandaikan Amanah akan pupus setelah PRU ke 15 nanti. Kita harus buktikan sekali lagi teori-teori ini kekal teori kosong kerana Amanah akan teruskan perjalanannya tanpa berpatah balik atau berhenti.

Para Perwakilan dan Tetamu sekelian,

3. Kenapa Amanah berpotensi meneruskan perjalanan yang panjang? Apakah rahsia Amanah boleh menjadi hebat dan parti yang akan disegani kawan dan lawan?

4. Ada tiga faktor yang memungkinkan Amanah akan terus berkembang dan saya yakini ia adalah sesuatu yang praktikal dalam menyuburkan perkembangan Amanah. Faktor pertama ialah kejelasan idea dan gagasan perjuangan serta falsafah yang diimani oleh Amanah. Semangat Rahmatan Lil Alamin telah memacu dan mencetuskan kelahiran parti kita. Dalam pre-amble perlembagaan parti, kita menyatakan asas Amanah adalah membawa Rahmat dan berjanji menegakkan Keadilan dan Kemanusiaan.

5. Kita menolak sebarang bentuk kebencian sesama manusia dan menolak perkauman sempit dan agama sempit. Kita melihat hubungan sesama kita dalam kacamata manusiawi dan kerana itu kami enggan menganggap rakan lain sebagai Cina atau India atau Melayu, kami melihat semua kaum sebagai rakyat Malaysia yang satu!

6. Faktor ke dua ialah keperluan Amanah membentuk kesepakatan politik yang kukuh kerana kemenangan secara bersendirian adalah satu khayalan dalam konteks politik Malaysia. Faktor ketiga ialah persediaan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan melalui parti politik yang bersedia merangkul ide-ide reform dan pemikiran pembangunan yang progresif.

7. Amanah lahir dalam suasana yang boleh dikatakan kita berada pada masa yang tepat dan di tempat yang tepat untuk muncul sebagai parti yang tepat. Demikianlah Amanah mengecewakan teori-teori golongan pesimis dengan kejelasan perjalanannya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

8. Amanah Pulau Pinang adalah sebahagian dari gambaran besar kelahiran Amanah. Semasa kita mula bertapak di sini, kita bermula dengan zero, tiada kerusi dun mahupun apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri. Untuk mengisi jawatan dari kerajaan negeri, saya umpama mengemis untuk diberi kepercayaan parti baru ini mengisi jawatan dalam kerajaan negeri yang dikuasai DAP dan PKR.

9. Saya perlu merakamkan jutaan terimakasih kepada mantan Ketua Menteri Yb Tuan Lim Guan Eng kerana meyakini kemampuan Amanah Pulau Pinang dengan mengisi jawatan yang dahulunya diamanahkan kepada PAS. Dalam setiap rundingan, sejak 2015 sebagai parti pemerintah saya hanya berbekalkan semangat kerakanan walaupun tanpa satu kerusi pun.

10. Kita dilabel khadam DAP dan kuda tunggangan DAP. Biarlah saya tegaskan bahawa Amanah tertegak atas kejelasan tersendiri bukan atas idea menumpang mana-mana pihak. Jikalau kita khadam, ya memangnya kita khadam kepada prinsip-prinsip perjuangan PH yang kita pertahankan dan kita tegaskan.

11. Dari zero kita melangkah dengan meletakkan strategi Fokus dan Menang dengan tiga teras yang perlu dicapai. Pertama memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, pengukuhan organisasi dan keutuhan kewangan untuk persediaan PRU nanti. Kita melancarkan program SPEED turun padang manakala Biro Pilihanraya menyiapkan fokus senarai pengundi untuk kita tentukan sokongan. Semua sayap digerakkan untuk mencapai tiga teras strategik dalam motivasi bahawa survival Amanah terletak kepada semangat kepunyaan kita bersama.

12. Melangkah masuk PRU 2018, kita telah bersiap sedia dan dengan 3 kerusi Dun dan satu Parlimen, Amanah memenangi kerusi Permatang Pasir dan merampasnya dari PAS manakala satu lagi ialah Bayan Lepas yang kita rampas dari Umno. Hanya Dun Sg Dua belum terhasil dan Parlimen Kepala Batas.

13. Dari zero kita ada 2 Yb, iaitu Yb Faiz Fadhil dan Yb Azrul. Kita telah buktikan kewibawaan kita di Pulau Pinang. Ia satu kejayaan apatah lagi di peringkat Federal, PH berjaya membentuk kerajaan. Sudah tentu kemudian Amanah menjadi perhatian maka ramailah yang mencari borang parti berbanding pada awalnya borang yang mencari ahli berpotensi.

14. Dalam kejayaan janganlah kita lupakan jasa mereka yang namanya tidak disebut tetapi bertungkus lumus bekerja demi parti. Yb-Yb kita janganlah lupakan mereka, hargailah jasa mereka. Begitu juga ada di kalangan kita yang telahpun meninggalkan kita sebagai contoh ahli dan kepimpinan yang gigih dan setia kepada parti.

15. Pak Yusof Batu Kawan telah meninggalkan kita dalam menjalankan amanah sebagai Pengerusi Batu Kawan manakala Sdr Nasir Ismail selaku Pengerusi Jelutung dan mantan Setiausaha Negeri telah meninggalkan kita pada saat kita meraikan kemenangan pasca 2018. Keduanya adalah lambang kegigihan dan kesetiaan untuk kita ambil semangat mereka dalan baki perjalanan kita.

Saudara dan Saudari sekelian,

16. Kita akan memilih pimpinan baru pada hari ini dan kita hendaklah berlumba-lumba ke arah kebaikan atau Fastabiqul Khairat. Kita boleh berlumba-lumba untuk menyumbang ke arah perkembangan parti namun jangan sekali-kali berlumba jawatan untuk kepentingan sendiri dan sekadar mahukan jawatan. Ramailah yang akan ada kepentingan setelah kita diiktirafi dengan pencapaian dari zero kita. Jangan lupa asas parti dan idealisma yang diperjuangkan.

17. Kita sedia maklum apa yang berlaku apabila parti-parti yang ditungangi oleh kepentingan diri atau kelompok, parti itu akan hancur dan kita akan menerima akibat yang sama. Parti adalah keutamaan dan semangatnya adalah panduan kita, parti harus berkembang bukan menggunakan parti untuk perkembangam kita.

18. Saya menolak pencalonan di peringkat negeri maka saya tidak ada kepentingan dalam ucapan saya pagi ini. Saya harapkan pimpinan baru akan meneruskan cita-cita Amanah Pulau Pinang agar menjadi lebih baik dari kepimpinan saya sebelumnya. Semoga Amanah terus berkembang dan menjadi parti yang terus diseganinkawan dan lawan.

Sekian

Yb Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
23hb Nov 2019.