Kerajaan Sentiasa Berusaha Untuk Mengurangkan Tempoh Menunggu Haji

Kerajaan akan memohon 20,000 kuota tambahan haji untuk musim haji tahun depan bagi membolehkan lebih ramai jemaah dari negara ini menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pada masa ini kuota haji tetap untuk Malaysia adalah 30,200 dan pihaknya mahu memohon kuota tambahan bagi memendekkan tempoh menunggu.

“Saya akan ke sana (Arab Saudi) pada Januari depan untuk mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu dan ia termasuk kuota haji, seperti yang menjadi kelaziman setiap tahun.

“Kita akan menjelaskan mengapa ia perlu ditambah dan wakil kerajaannya akan mencatat untuk mengambil sebarang tindakan susulan.

Loading...

“Kita akan memohon 10,000 hingga 20,000 tambahan kuota haji, bergantung kepada keperluan negara dalam mengurangkan giliran menunggu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-36 di Institut Latihan Islam Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Md Nor Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Muzakarah anjuran TH dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu diadakan bagi memberi peluang kepada 200 pengendali kursus ibadat haji dan ilmuwan agama berkongsi ilmu dalam menetapkan keseragaman hukum serta penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji.

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan dalam muzakarah berakhir esok dan ia turut disertai perwakilan luar negara, antaranya dari Brunei serta Kemboja.

Dalam pada itu, Mujahid berkata peserta muzakarah disaran memberi penjelasan dengan lebih tepat dan jelas semasa kursus haji, berlandaskan resolusi yang dimuktamadkan.

“Pembimbing kursus memainkan peranan utama dalam membantu bakal jemaah melancarkan ibadat haji, penting manfaat itu dapat dirasai.

“Bukan saja di sini (kursus haji di Malaysia), kita juga menyediakan pembimbing di sana bagi memudahkan jemaah,” katanya.

Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/631070/malaysia-mohon-20000-kuota-tambahan-haji