Aliran keluar dana asing cecah RM44.1 juta

Kalangan dana asing terbukti menjadi penjual bersih pada Khamis lepas yang membabitkan aliran keluar dana sebanyak RM44.1 juta berbanding aliran masuk RM3.4 juta pada minggu sebelumnya, di tengah-tengah ketidaktentuan membabitkan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) -China.

Rasa optimis mengenai kemungkinan persetujuan perdagangan dapat dicapai selepas AS-China dilaporkan berhasrat membatalkan cukai barangan masing-masing sebaliknya lenyap susulan laporan bahawa rancangan itu mendapat bantahan beberapa penasihat Presiden Donald Trump.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kalangan peniaga masih belum yakin dengan laporan terbaharu itu walaupun kemungkinan pembatalan cukai itu juga membuktikan Washington-Beijing mampu sependapat dan akhirnya dapat meleraikan konflik perdagangan itu.

“Sukar untuk menyatakan keadaan yang boleh berlaku kerana berdasarkan pengalaman lepas, hasil perbincangan sebelum ini juga amat goyah. Oleh itu, para pelabur mungkin mahu menunggu lebih banyak bukti (sebelum memutuskan tindakan seterusnya),” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus telah meningkatkan tarikan terhadap negara ini dari segi pulangan pelaburan sebagaimana dibuktikan pengukuhan ringgit berbanding dolar US.

Loading...

“Keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada tiga peratus itu telah memberi kesan dari segi perbezaan kadar faedah dengan AS iaitu pada kira-kira 125 hingga 150 mata asas.

“Ini bermakna pulangan pelaburan pulangan dalam ringgit adalah lebih tinggi daripada aset AS,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Mohd Afzanizam berkata pelabur akan memberi tumpuan terhadap pengumuman keputusan kewangan korporat bagi suku ketiga.

“Pelabur akan meneliti laporan bagi suku tersebut. Oleh itu, saya menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI akan bergerak dalam jajaran kecil pada minggu depan,” katanya.

Sewaktu urus niaga ditutup pada Jumaat lepas, ringgit disebut harga pada 4.1310/1360 berbanding dolar US daripada 4.1640/1670 pada minggu sebelumnya.

Laporan semalam menyatakan bahawa AS dan China untuk membatalkan cukai bagi barangan masing-masing yang menjadi sebahagian daripada persetujuan fasa pertama, sekali gus memaparkan perkembangan positif terbaharu walaupun kesangsian mengenai pertikaian perdagangan yang berlanjutan itu tetap wujud.

Perjanjian tersebut disasarkan untuk dimeterai sebelum akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata pengumuman BNM yang bercadang menguatkuasakan had transaksi tunai mulai tahun depan, dijangka tidak memberi kesan terhadap aliran dana.

“Sebaliknya, ia merupakan langkah yang baik untuk penggiat e-dagang kerana ini akan membawa kepada keperluan segera bagi mewujudkan penyelesaian e-dagang.

“Atas alasan itu, mungkin terdapat peluang untuk sektor teknologi yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan penyelesaian e-dagang tersebut,” katanya.

BERNAMA