Tiga puluh dua ADUN Perak belum isytihar harta

Seramai 27 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak telah menghantar borang pengisytiharan harta masing-masing untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham meminta semua 32 ADUN yang belum berbuat demikian supaya dapat melaksanakannya secepat mungkin bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kerana usul yang diluluskan di peringkat DUN tidak boleh diendahkan.

“Bagaimanapun, saya enggan mendedahkan nama mereka yang masih belum menyerahkannya dan saya akan menghubungi pihak SPRM untuk menetapkan tarikh akhir penghantaran borang berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 23 Julai lepas, DUN Perak mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama di negara ini mewajibkan semua 59 ADUN mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akaun berkanun dalam tempoh tiga bulan atau tarikh akhir 23 Okt lepas.

Loading...

Perak mempunyai 59 ADUN dengan 30 daripadanya adalah Pakatan Harapan terdiri daripada DAP (18), Amanah (6), PKR (4) dan Bersatu (2) manakala BN (25), PAS (3) serta Bebas (1).

Menurut Ngeh, pihaknya akan menghantar semua pengisytiharan harta yang telah diterima kepada SPRM sebelum 15 Nov untuk dipaparkan dalam portal SPRM.

“Diharapkan mereka yang belum melengkapkan borang itu supaya menghantarkannya serta merta bagi menunjukkan ketelusan dan pendapatan ADUN diperoleh daripada sumber yang halal serta tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, borang pengisytiharan harta kesemua ADUN sama ada pihak kerajaan dan pembangkang perlu dihantar sebanyak dua salinan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan beliau sendiri untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ngeh berkata Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua DUN Perak Ke-14 akan diadakan bermula 15 Nov dengan pembentangan Belanjawan negeri 2020 sebelum persidangan disambung pada 18 hingga 22 Nov ini.

BERNAMA