Chong dakwa GPS amalkan politik membuli selepas ucapannya dihentikan

Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen hari ini menuduh kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengamalkan politik membuli selepas beliau diarahkan menghentikan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di separuh jalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, kerana didakwa membuat kenyataan keterlaluan dan provokatif.

Bercakap kepada wartawan di luar dewan, Chong yang juga Ketua Pembangkang berkata tindakan Speaker Datuk Amar Asfia Awang Nasar jelas sekali melanggar Peraturan Mesyuarat.

“Daripada mengawal ahli-ahli dewan GPS, Speaker telah mengarahkan saya berhenti separuh jalan. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan jelas sekali melanggar peraturan Dewan.

“Saya sedih sekali Speaker telah merendahkan dirinya sebagai alat politik pembuli. Sebagai Speaker, beliau sepatutnya tidak memihak, mengawal ahli lain untuk diam, dan bukannya menjerit,” kata Chong.

Loading...

Dalam membuat perintah tersebut, Speaker telah menggunakan Peraturan Dewan 62(11) yang memberikan beliau kuasa untuk tidak membenarkan Adun Kota Sentosa itu meneruskan perbahasannya berkaitan Undang-Undang Perbekalan Negeri 2020.

Terdahulu dalam ucapannya, Chong menyifatkan belanjawan negeri 2020 sebagai belanjawan yang tidak realistik, kerana menjanjikan perbelanjaan pembangunan RM16.5 billion, tetapi hanya meminta Dewan untuk meluluskan hanya RM6.5 billion tahun hadapan.

Katanya, Ketua Menteri juga perlu menjelaskan perkara yang dibangkitkannya itu.

Chong juga menafikan telah membuat kenyataan yang melampau mengenai belanjawan negeri itu seperti yang dituduh Speaker Dewan, dan menyatakan terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada apa yang dikatakannya itu sebagai realistik atau tidak.

BERNAMA