Anwar ingatkan pemimpin supaya adil, bantu semua pihak

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pemimpin supaya bersifat adil dan tidak memilih orang tertentu sahaja dalam memberikan bantuan.

Beliau berkata, peringatan itu diberikan memandangkan perkara itu ada dibangkitkan dalam beberapa Konvensyen Keadilan sebelum ini seperti di Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

“Tanggungjawab saya memperingatkan kerana di negeri-negeri hal ini dibangkitkan, penyaluran dana, kutipan dana, penyerahan sama ada sebahagiannya mungkin peribadi, mungkin dari syarikat atau mungkin dari projek kerajaan, tetapi haruslah telus dan jangan kita ulang kelemahan lampau.

“Peringatan ini berdasarkan bantahan dan rayuan termasuk di Wilayah Persekutuan yang telah dibangkitkan di Johor semalam, di Pulau Pinang sebelum ini dan di Sabah; hanya dipilih beberapa orang, sepatutnya harus telus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Keadilan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson meminta para pemimpin yang kini sudah memegang jawatan termasuk menteri agar membantu semua pihak seadilnya bagi menghargai sokongan mereka selama ini.

Loading...

“Yang angkat kamu itu seluruhnya, yang bantu kamu itu semuanya, semua ranting, semua cabang, jadi bantu semua,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Anwar mengulangi pendirian parti itu untuk terus menyokong calon Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan dan akan mengerahkan jentera bagi membantu kempen.

BERNAMA