PEMBANGKANG GAGAL BERMUAFAKAT

Pakatan Harapan adalah pilihan terbaik rakyat Tanjung Piai supaya kawasan tersebut tidak tersisih dari arus pembangunan dan rakyat di kawasan tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Rakyat Tanjung Piai tidak seharusnya mengulangi kesilapan pengundi di DUN Semenyih yang sekarang ini mempunyai seorang ADUN pembangkang yang gagal berfungsi untuk membantu rakyat di sana.

Pembangkang hanya boleh duduk bersama untuk memburukkan kerajaan, tetapi mereka sebebarnya sukar untuk bekerjasama membangunkan negara ini.

Walaupun kononnya pembangkang bermuafakat, mereka masih tidak mampu membentuk kerajaan bersama kerana sikap telunjuk lurus kelingking berkait pada setiap parti.

Loading...

Di Tanjung Piai, ahli-ahli Umno memprotes pencalonan dari MCA. Ini juga sebenarnya adalah kesan dari indoktrinasi politik perkauman yang sering dimainkan oleh Umno dan PAS. Akhirnya menjerut leher sendiri.

Di pihak PAS pula, pimpinan mereka sudah terlajak perahu. Dalil dan dalih terpaksa dicari untuk memadamkan fatwa politik lama dan mengemukakan fatwa politik baharu. Mereka mula bercakap dengan nada yang sama sepertimana yang pernah cuba dijelaskan oleh pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan sebelum ini.

Fatwa melantik calon non-muslim, hukum politik tidak qath’ie, politik bukan aqidah, harus berbaik-baik dengan golongan non-muslim, sikap non-muslim terhadap syariah dan banyak lagi. Fatwa-fatwa politik baharu pemimpin PAS di Tanjung Piai hanya sekadar memadam naratif politik lama mereka dan menyalin semula naratif politik yang pernah dijelaskan oleh pimpinan Amanah sebelum ini. Amanah kelihatannya adalah lebih cerdik sekurang-kurangnya 4 tahun ke hadapan berbanding PAS.

Buktinya ialah dengan tindakan Berjasa meletakkan calon di Tanjung Piai walaupun Berjasa adalah rakan tahalluf PAS. Hakikatnya, Berjasa masih mengguna pakai naratif politik PAS yang lama untuk PRK Tanjung Piai, sedangkan PAS pula cuba menyalin hujah dan dalil yang sebelum ini dijelaskan oleh pimpinan Amanah tetapi cuba dipersetankan oleh PAS.

Hari ini di Tanjung Piai, naratif politik PAS tersungkur berhadapan dengan naratif politik Amanah, dan Berjasa pula cuba menyelamatkan naratif politik PAS yang lama itu.

Dari Melaka ke Tanjung Piai
Cermat memandu mengelak padah
Jangan percaya Parti Si Lebai
Dalil dan dalih mainan lidah

Itulah sebenarnya yang sedang berlaku di Tanjung Piai. Semoga pengundi dapat memberikan keputusan yang terbaik di Tanjung Piai dari senarai calon-calon yang bertanding yang bakal diumumkan oleh SPR pada hari penamaan calon.

Jamzuri Ardani
Pengarah Komunikasi
Amanah Melaka.