Kerja-kerja pembinaan berhampiran Rumah Pangsa PKNS punca tanah mendap

Kejadian tanah mendap di Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, di sini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan ‘ruang’ (column) tiang untuk projek MRT.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata projek pembinaan berhampiran rumah pangsa itu telah menyebabkan aliran sungai terpaksa dialihkan yang menimbulkan masalah tanah mendap dan banjir kilat di kawasan itu.

“Kami telah maklumkan kepada JPS (Jabatan Pengaliran dan Saliran) untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, dengan meletakkan pam di situ dengan dua anggota memantaunya setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Art In The City’ anjuran Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) di Masjid Jamek ‘Look Out Point’ River of Life (RoL) di sini, hari ini.

“Kami telah berbincang dengan JPS untuk kaji cara mengatasi masalah supaya persoalan banjir tidak berulang… DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sebenarnya tidak terlibat dalam projek itu melainkan sebagai pengawas supaya ia dijalankan tanpa menimbulkan isu-isu lebih besar,” tambahnya.

Loading...

Menurutnya ketika ini penduduk-penduduk rumah pangsa yang terjejas diberi tempat berteduh sementara kerosakan kediaman mereka sedang dikaji.

“Saya merasakan flat PKNS mungkin perlu dibangunkan kembali dan saya difahamkan mereka pernah ditawarkan (kediaman) tetapi program cadangan itu tidak kesampaian,” katanya.

Semalam, 15 keluarga membabitkan 62 orang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kuala Lumpur selepas berlaku tanah mendap di kediaman mereka di Rumah Pangsa PKNS Jalan Tun Razak.

Sementara itu aktivit-aktiviti program ‘Art in the City’ yang bertema ‘I heART KL’, yang bermula sejak semalam dan akan berlarutan sehingga 27 Okt ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran terhadap kehebatan suasana seni dan kebudayaan Malaysia kepada orang ramai.

Khalid berkata program kerjasama antara Cendana dan DBKL itu selain dapat mempromosikan hasil-hasil seni kreatif artis-artis tempatan, ia juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar dan kebersihan sungai.

“Setiap hasil karya mereka mempunyai mesej tertentu dan rekaan diperbuat daripada bahan-bahan terbuang dan kitar semula bagi memberi kesedaran kepada warga kota tentang penjagaan alam sekitar,” katanya.

BERNAMA