Karnival kerjaya tingkatkan kebolehpasaran siswazah dan lepasan sekolah

download - 2019-10-20T203601.304
Penganjuran karnival kerjaya dilihat sebagai satu platform terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran para siswazah termasuk lepasan sekolah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor Aminolhuda Hassan .

Karnival sedemikian juga merupakan medium yang tepat dalam mempertemukan keperluan industri dan pencari kerja di negeri ini di bawah satu bumbung, katanya.

Beliau berkata Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) ini, merupakan kali ketiga yang dianjurkan pada tahun ini selepas kejayaan penganjuran kali pertama di Daerah Johor Bahru, Tangkak, dan sebelum ini di Batu Pahat.

“Sebenarnya, karnival seperti ini juga bertindak sebagai medan perkongsian maklumat dengan memberi pendedahan kepada golongan sasar iaitu pencari kerja dan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan kemahiran (ILK) tentang senario Revolusi Industri Keempat (IRR4.0) yang diperlukan oleh dunia pekerjaan pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 Daerah Batu Pahat di Pasar Raya Square One, di sini, yang turut dihadiri ialah Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abas dan Pengurus Besar SMI, Saifuddin Abdul Rahim.

Loading...

Kata Aminolhuda lagi, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap peluang pendidikan kemahiran dan latihan vokasional yang berkualiti bagi menyokong pembangunan ekonomi di negeri ini dapat diteruskan berdasarkan kerancakan aktiviti pembangunan ekonomi di Johor.

Katanya, sebagai contohnya, kerancakan aktiviti ekonomi seperti di Wilayah Iskandar dilihat telah berjaya menarik pelaburan dengan nilai berbilion ringgit selain Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

“Hasil dari kemajuan pesat ini, maka sudah tentu akan berlaku peningkatan permintaan tenaga kerja mahir dan saya percaya pada masa akan datang, kerjaya di negeri ini akan lebih menjerumus kepada bidang kemahiran berbanding akademik

Menjadi dasar kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dan berbakat yang akan mendorong Johor untuk lebih maju dan berdaya saing selain memastikan bekalan modal insan berbakat ini mencukupi,” katanya

Sementara itu, kira-kira 1,700 peluang pekerjaan ditawarkan daripada 25 agensi pelbagai industri pada karnival anjuran sehari bersama pusat JobsMalaysia Johor itu.

BERNAMA