Fungsi institusi koperasi perlu diperkukuh – PM Mahathir

download - 2019-10-08T143151.529
Fungsi institusi koperasi perlu diperkukuhkan semula terutamanya koperasi luar bandar sebagai wadah pembangunan pekebun kecil, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini kerana pembangunan koperasi di Malaysia masih lagi berada pada tahap rendah berbanding negara-negara maju yang lain.

Katanya, peranan besar dalam usaha pengukuhan mengikut cara yang baharu itu perlu dimainkan pihak kementerian dan agensi terbabit di dalam memartabatkan semula fungsi koperasi.

“Oleh itu, langkah-langkah menyeluruh perlu diambil termasuklah merancang strategi membangunkan koperasi, memantau koperasi secara berkala dengan mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama dan menyediakan latihan kepada semua pengurusan koperasi dan ahli-ahlinya.

“Selain itu, merancang dan melaksanakan projek secara ‘pembangunan melibatkan penyertaan’, menggalakkan pelaksanaan projek berskala kecil secara gotong royong, melihat koperasi sebagai pencetus pembangunan minda pekebun kecil, dan membantu pelaksanaan integrasi koperasi-koperasi secara menegak dan melintang bagi mewujudkan koperasi yang berdaya saing,” katanya.

Loading...

Perdana menteri berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia di sini hari ini.

Katanya, dengan pelan rancangan yang baik dan komitmen pelaksanaannya yang tinggi daripada semua pihak, beliau yakin koperasi luar bandar mampu diperkasa dan menjadi institusi utama dalam membentuk pekebun kecil yang progresif dan berdaya saing.

BERNAMA