Kontroversi Debat: Islam Tidak Iktiraf Homoseksual, Tegas Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung kontroversi Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang didakwa memdebatkan tajuk yang tidak menjaga sentiviti Islam.

“Jadi saya perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan sebab itu bawah persekutuan, (sama ada) benar atau tidak adanya tajuk itu untuk didebat, kerana kalau ada sudah tentulah mana boleh homoseksual diterima oleh Islam.

“Daripada banyak-banyak tajuk, kenapalah itu yang dipilih. Saya tidak akan membuat apa-apa komen sehingga Menteri Pendidikan (Maszlee Malik) sendiri yang akan teliti perkara itu,” kata beliau, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu majlis di Seremban.

Loading...

Terdahulu, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, dipetik Sinar Harian, menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dengan kadar segera sebagai satu bentuk pengajaran kerana tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

Beliau turut meminta supaya pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji sama ada wujud perlakuan jenayah syariah dan sivil.

“Saya sangat kesal dengan pemilihan tajuk, tajuk debat ini yang langsung tidak memberi sebarang pertimbangan menjaga sensitiviti beragama apatah lagi dianjurkan oleh orang Islam sendiri dan disertai juga oleh orang Islam.

“Saya mendesak menteri pendidikan mengambil tindakan kepada penganjur walaupun mereka telah memohon maaf kerana kini sudah menjadi corak merobek sensitiviti agama Islam dan kemudian minta maaf,” kata beliau.

Menurut Zainul Rijal, tajuk yang diberikan penganjur boleh menjejaskan akidah apabila satu pihak terpaksa menyokong atau menentang tajuk itu.

“Ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main, difikir secara secara hipotetikal ataupun sengaja berbahas semata mencari kemenangan walaupun ia batil.”

Mempertikai tajuk dipilih

Dakwaan seorang pengguna Whatsapp bernama “IbuBapa F5” mempertikaikan tajuk dipilih, menggunakan tajuk homoseksual sebagai topik dua dan tiga, kini viral di media sosial.

Tajuk debat ini mengatakan bahawa Islam tidak menghalang homoseksual, katanya.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam debat bagi pelajar sekolah. Dalam situasi ini seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang telah dipaksa menyokong tajuk tersebut.

“Seorang pelajar beragama Islam terpaksa mendokong tajuk menulis semula al-Quran. Apa logik di sini?” soal lagi.

Mereka juga mendakwa perkara itu sebagai satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama.

“Ajaran liberalisme melampau telah meracuni sistem pendidikan kita. Anak kita tidak sepatutnya dipaksa mendokong topik seperti ini.

Pasukan debat SMAP itu menarik diri dalam pertandingan itu apabila diberikan tajuk tersebut.

Sementara itu, juri bagi pertandingan tersebut dalam kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya meminta maaf kepada pihak terlibat terhadap apa yang berlaku.

“Kami dan jawatankuasa Pertandingan Piala Tun Razak 2019 akan mengambil perkara ini sebagai pengajaran bagi memastikan pada pertandingan akan datang ia tidak berulang,” kata kenyataan mereka.

Sumber :

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/10/15/mujahid-daripada-banyak-banyak-tajuk-mengapa-debat-pilih-homoseksual/