Kenaikan elaun sara hidup nelayan tunjuk keprihatinan kerajaan

Kenaikan elaun sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, mulai tahun depan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, semalam menunjukkan keprihatian kerajaan terhadap nasib nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan (PNNS) Abu Bakar Dawam berkata walaupun kenaikannya sedikit iaitu RM50 tetapi ia besar maknanya bagi nelayan.

“Walaupun naik sedikit, maknanya ada juga kenaikan. Ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan aspek kebajikan nelayan dan bantuan sedia ada kepada golongan itu. Saya mewakili golongan nelayan di negeri ini mengucapkan syukur dengan pemberian tersebut.

“Kami juga berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub yang berusaha memastikan nasib nelayan di negara ini terus terbela. Penambahan elaun sara hidup ini sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup nelayan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen semalam bahawa elaun sara hidup nelayan akan ditingkatkan kepada RM250 daripada RM200 sebulan.

Loading...

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan nelayan tidak seharusnya dipinggirkan kerana kebanyakan mereka tergolong daripada kelompok miskin dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Jika musim tengkujuh bermula, hampir sebahagian besar kami tidak dapat turun ke laut dan terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menyara keluarga. Oleh itu, kerajaan diminta terus memberikan perhatian kepada golongan ini pada belanjawan akan datang.

“Di samping menjaga kebajikan nelayan, kerajaan juga tidak seharusnya mengurangkan peruntukan bagi pelbagai program memajukan industri perikanan di negara ini,” katanya. PNNS dianggotai lebih 400 nelayan yang kebanyakan nelayan pesisir pantai Port Dickson.

BERNAMA