BELANJAWAN 2020 : PEMBANGUNAN & PENGURUSAN ISLAM, SYIAR ISLAM TERUS DIMARTABATKAN

Pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan dua hari lepas adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat terbanyak. Pembentangan kali kedua dibawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan hari ini dijadikan indikasi seserius manakah pihak kerajaan komited membawa agenda Bumiputra dan Syiar Islam khususnya. Sekian lama pelbagai tomahan serta kritikan telah dilempar oleh pelbagai pihak terutamanya pihak pembangkang hari ini.

Apa yang dapat diperhatikan dalam pembentangan kali ini komitmen pihak kerajaan dapat dilihat serta diterjemahkan dengan jumlah peningkatan dana bagi Pembangunan & Pengurusan Islam sejumlah RM1.3 Billion, RM100 Juta telah ditambah berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.2 Billion.

Belanjawan Pengurusan meningkat dengan pemberian kepada kakitangan agama, termasuk 33200 Guru KAFA yang bakal menerima kenaikan RM100 pada tahun hadapan. Manakala elaun Imam, Bilal, Tok Siak, Noja, Merbot dan Guru Ta’mir mendapat pemberian sejumlah RM500.

Komitmen pihak Kerajaan Pakatan Harapan sekali lagi dapat dilihat dengan peruntukan agihan bagi sektor pendidikan agama yang terbahagi kepada empat pecahan bagi sekolah-sekolah berdaftar iaitu, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ( RM50 Juta ), Sekolah Agama Rakyat ( RM25 Juta ), Pondok ( RM25 Juta ) dan Institusi Tahfiz ( RM50 Juta ).

Loading...

Sektor industri Halal tidak terkecuali dalam pembentangan serta agihan belanjawan kali ini kerna industri Halal ini sangat dekat dan penting kepada umat Islam. Inisiatif Pensijilan Halal telah diperuntukkan sejumlah RM10 Juta bagi usaha menggalakkan perkembangan industri produk-produk Halal luar dan dalam negara.

Sebelum ini pada belanjawan 2018, RM150 Juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program termasuk pembinaan masjid dan surau diseluruh negara, inisiatif Khairah Ummah bagi melahirkan lebih ramai profesional dikalangan Huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille. Awal tahun ini Januari 2019 sejumlah RM25 Juta telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada 283 sekolah pondok berdaftar seluruh negara.

Kerajaan telah mengangkat konsep “Rahmatan Lil Alamin” Rahmat untuk semua, dengan itu Inisiatif penerangan dasar Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah di peruntukkan RM10 Juta. Inisiatif lain dalam memperkasa Syiar Islam pihak kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan potongan cukai bagi sumbangan wakaf tunai kepada universiti awam dan sumbangan wakaf kepada pihak berkuasa agama negeri atau badan yang ditubuhkan.

Merumusi serta merangkul pelbagai aspek Pembangunan dan Pengurusan Islam dengan peruntukan RM1.3 Billion kepada Kementerian Hal Ehwal Agama JPM dibawah Kepimpinan YB Menteri Dr Mujahid ternyata usaha memacu agenda pembangunan Syiar Islam dapat dilihat jelas dari tahun ketahun, sekali gus menidakkan tomahan-tomahan yang mengatakan Islam tergugat serta ditindas dibawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi

Anas As-Said Zaharuddin
Pemuda Amanah Selangor