Belanjawan 2020: Bajet yang difikirkan dengan baik – Khazanah

Khazanah Nasional Bhd yakin Belanjawan 2020 merupakan bajet yang telah difikirkan dengan baik dan teliti malah menjadi langkah ideal ke arah merapatkan jurang peluang yang ada di negara ini, menerusi penambahbaikan mekanisme penyampaian kerajaan serta penyertaan rakyat dalam ekonomi digital.

“Kami menyambut baik pelbagai usaha dan dasar Belanjawan 2020 yang meletakkan asas bagi Malaysia untuk memacu ke arah pertumbuhan terangkum dan mampan jangka panjang,” kata Pengarah Urusan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan di sini, hari ini.

Belanjawan 2020 bertema ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, merupakan belanjawan pertama kerajaan selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 pada 5 Okt lepas.

“Khazanah dan syarikat penerima pelaburan kami akan memainkan peranan dalam melaksanakan rancangan pembangunan negara yang ditetapkan dalam Belanjawan 2020, dengan penekanan khusus terhadap rangsangan digital, infrastruktur digital serta usaha-usaha pelancongan,” katanya.

BERNAMA

Loading...