Utusan Melayu digesa bayar pampasan, gaji pekerja – NUJ Utusan

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak menggesa Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar pampasan dan gaji pekerja tertunggak susulan menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Beliau berkata keputusan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! memberhentikan operasi berkuat kuasa semalam menyebabkan kebanyakan pekerjanya mengalami kesempitan hidup.

“Kami mahu pihak syarikat bukan sahaja membayar pampasan kepada semua pekerja tetapi juga membayar faedah perkhidmatan lain seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuklah bayaran ganjaran gratuiti, yang tidak dibayar sejak tahun lepas.

“Kami juga mahu syarikat membayar gaji pekerja yang tertunggak selama dua bulan iaitu September dan Oktober. Itu adalah harapan besar kami, apatah lagi dengan keadaan kami yang tiada kerja, apa yang jadi harapan kami adalah duit sebab nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Utusan Melayu menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada 31 Okt ini berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Loading...

Menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan akhbar berkenaan, tarikh akhir bekerja bagi kakitangan syarikat itu adalah semalam.

Lembaga pengarah Utusan Melayu pada 7 Okt telah meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.

Mengulas lanjut, Mohd Taufek berkata satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi dijadual diadakan pada 30 Okt.

“Jadi, buat masa ini, kami semua sedang dalam tempoh bertenang selain menunggu apakah keputusan akhir yang akan dibuat oleh pengurusan lama pada 30 Okt ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Taufek meletakkan harapan tinggi agar akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo dapat diterbitkan semula selain berharap pengurusan baharu, Aurora Mulia Sdn Bhd dapat mengekalkan kesemua 862 kakitangan syarikat itu.

“Ada ura-ura mengenai pengurusan akan membuat proses pembuangan kerja tapi kami harap di bawah pengurusan baharu, mereka dapat terus terbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo selain mengekalkan kesemua pekerja,” katanya.

BERNAMA