Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan

Dewan Rakyat hari ini memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan yang dahulu.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Rang Undang-undang itu diluluskan selepas dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas melalui proses undi belah bahagi dengan majoriti lebih ramai yang bersetuju iaitu 92 ahli parlimen berbanding 51 yang tidak bersetuju.

Sebanyak 25 ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang berbahas mengenai rang undang-undang itu selama dua hari sejak semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk memansuhkan akta tersebut kerana tidak mahu ada pihak menjadi mangsa kezaliman akta tersebut.

Loading...

“Jika diteliti secara mendalam undang-undang ini didapati bersifat draconian dan berpotensi untuk disalahguna,” katanya.

Mohamed Hanipa menjelaskan kerajaan PH tidak zalim berbanding BN berkaitan undang-undang tersebut.

“Sewaktu pentadbiran BN, hanya seorang sahaja pesalah didakwa dan dihukum di mahkamah, namun sewaktu kerajaan PH tiada seorang pun didakwa di bawah akta itu membuktikan kerajaan PH peduli terhadap ketidakadilan akta berkenaan,” katanya.

Rang Undang-undang itu dibentangkan untuk memansuhkan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803), yang diluluskan sewaktu pentadbiran kerajaan yang lepas.

Menurut buku Rang Undang-undang itu yang diedarkan kepada media pada Isnin, ia antara lain menyebut mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 803, disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada.

“Ia seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Oleh itu, Akta 803 tidak lagi relevan,” menurut buku tersebut.

BERNAMA