Insentif baharu galakkan kemajuan ekonomi digital

BELANJAWAN-2020

Pemain industri telekomunikasi negara percaya insentif baharu untuk menggalakkan ekonomi digital perlu diberikan perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Datin Mohana Mohariff berkata pihaknya berharap adanya pemberian insentif kepada perniagaan dan usahawan dalam talian bagi menggalakkan kemajuan dan perkembangan ekonomi digital.

“Antara insentif yang boleh disyorkan ialah insentif buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan akan mendapat pengecualian cukai mengikut kadar tertentu.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat merangsang industri dan dalam masa sama dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Loading...

Menurutnya, selain itu, pemberian insentif cukai kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengguna juga dapat menggalakkan penglibatan rakyat dalam teknologi dan ekonomi digital seperti pemberian rebat cukai RM800 setahun untuk langganan jalur lebar tetap kepada pengguna.

Pihaknya menjangkakan peruntukan bagi Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan diagihkan secara lebih terperinci dan jelas untuk pertumbuhan digital seperti pembangunan infrastruktur, aktiviti dan program berkaitan untuk rakyat.

“Melalui pelaksanaan NFCP, CFM juga mempunyai peranan untuk menghubungkan pengguna di seluruh kawasan dengan pelan inisiatif ini melalui kerjasama dan membantu ahli-ahli CFM di seluruh negara yang terdiri daripada persatuan pengguna dengan menjalankan program-program berkaitan, selain daripada kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Pelan NFCP dijangka dapat mengurangkan jurang digital dan menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

Dalam pada itu, seorang penggiat industri telekomunikasi yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Romlan Sarpin berkata kerajaan perlu memberi subsidi capaian internet pantas untuk kawasan kediaman dan di lokasi institut pengajian tinggi.

Beliau berkata ini membolehkan kumpulan sasaran seperti keluarga dan pelajar menikmati capaian internet pantas untuk kegunaan harian, pelajaran dan perniagaan selain mengelakkan aktiviti tidak sihat, melepak di restoran makanan segera dan kedai kopi hingga lewat malam.

Jelasnya, pemberian subsidi tersebut selain pemberian internet percuma selama sebulan untuk penduduk di kawasan luar bandar, mampu merapatkan jurang, meringankan beban dan mencari pelbagai perniagaan di laman internet.

Romlan merupakan Pengerusi Eksekutif Maficomm Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat dealer eksklusif yang dilantik oleh pembekal telekomunikasi terkenal (Digi Telecommunications Sdn Bhd) bagi melancarkan pakej khas untuk kakitangan kerajaan seluruh Malaysia yang berjawatan tetap.

Berkongsi pengalamannya, Romlan berkata kakitangan kerajaan perlu bijak mencari pakej atau pelan bulanan telefon yang sesuai dengan kegunaan dan keperluan mereka supaya tidak terpedaya dengan pakej-pakej istimewa yang pada akhirnya merugikan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maficomm Resources Sdn Bhd Datuk Mahadhir Mahideen pula berpendapat capaian internet negara tidak begitu pantas di kebanyakan tempat ekoran perkongsian menara telekomunikasi hingga berlaku ‘kesesakan capaian’.

Justeru, antara langkah untuk penyelesaian kepada masalah ini adalah pembinaan menara dengan tanggungjawab secara bersama-sama dan bukannya kepada syarikat telekomunikasi semata-mata.

“Ia kurangkan beban, memperluas dan memperhebatkan liputan internet, talian komunikasi tanpa berlaku kesesakan dan masalah gangguan talian. Sudah sampai masanya isu ini diselesaikan untuk situasi menang-menang kesemua pihak,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat ini.

BERNAMA