Jabatan Kewangan tak tahu pembelian hotel tidak diluluskan Felda – Saksi

download - 2019-10-08T151320.218
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Jabatan Kewangan Felda tidak mengetahui pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta, tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Bekas Pengarah Kewangan Felda, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, berkata surat permohonan daripada FICSB iaitu anak syarikat Felda untuk mendapatkan wang pendahuluan RM1 juta dan RM1. 88 juta bagi pembelian hotel berkenaan tidak dinyatakan tentang kelulusan pembelian hotel tersebut.

Saksi pendakwaan ketiga yang kini merupakan Pengarah Unit Transformasi Felda berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari kedua perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Adakah ini bermaksud apabila FICSB menerima pendahuluan (wang) daripada Felda, FICSB tidak perlu lagi dapatkan kelulusan daripada Ahli Lembaga Pengarah Felda berhubung pembelian hotel tersebut yang bernilai RM160 juta?

Mohd Shahrin: FICSB perlu dapatkan kelulusan untuk pembelian atau pelaburan ini.

Loading...

Afzainizam: Walaupun pendahuluan telah diberikan, masih perlu dapatkan kelulusan?

Mohd Shahrin: Ya, kerana ia dua perkara berbeza yang mana satu adalah kelulusan untuk pembelian (hotel) dan kedua adalah kelulusan pendahuluan pinjaman.

Saksi itu berkata Jabatan Kewangan Felda tidak akan meluluskan pembayaran pendahuluan itu kepada FICSB sekiranya tahu pembelian hotel itu tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

“Berdasarkan amalan di Jabatan Kewangan Felda, jika kelulusan tidak diperoleh, kebiasaannya kita akan bincang dengan pengurusan sebelum dirujuk kepada ketua saya sama ada Pengarah Besar Felda atau timbalannya sama ada perkara ini boleh dapatkan kelulusan atau tidak,” katanya ketika ditanya Afzainizam sama ada beliau akan membayar pendahuluan yang diminta sekiranya tahu pembelian hotel tersebut tidak diluluskan.

Beliau menjelaskan bahawa di peringkat Jabatan Kewangan Felda, setiap jumlah yang diberikan kepada FICSB untuk pelaburan adalah atas tanggungjawab anak syarikat itu bagi melaksanakan pelaburan tersebut.

“Terdapat beberapa pelaburan dibuat oleh FICSB yang mana diperingkat Jabatan Kewangan Felda, kami tidak dimaklumkan secara terperinci atau berterusan disebabkan anak syarikat Felda itu mempunyai pengurusan, Jabatan Kewangan, Ahli Lembaga Pengarah mereka.

“Jadi secara pengurusannya, saya tidak mengetahui tentang pembelian hotel ini hinggalah dimaklumkan secara rasmi pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Kewangan Felda sedia maklum tentang pembelian hotel tersebut, namun pada 2014 jawatankuasa itu tidak tahu tentang mandat had jumlah pelaburan yang Felda boleh berikan kepada FICSB adalah RM100 juta.

“Saya memahami atau tahu berkaitan mandat had pelaburan RM100 juta ini ketika perbicaraan kes melibatkan bekas Pengarah Felda berkaitan penternakan ikan pada 2017,”katanya.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung petang ini.

BERNAMA