Melayu Bermaruah Melayu Berubah

Usai dari sebuah kongres yang berlangsung berkaitan isu bangsa melayu, bermacam pandangan lahir baik dari sudut positif dan juga dari pandangan jelik. Namun mata, telinga dan otak tertumpu kepada syarah yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Penulis sempat mendengar dan meniliti beberapa isi dan matlamat ucapan yang mahu disampaikan oleh Tun M kepada para hadirin yang hadir atau yang mendengar melalui corong dan kaca interaktif yang ada.

Melalui pola kehadiran, rata-rata mereka yang hadir sudah pasti ada kepentingan yang tersendiri. Barisan hadapan kerusi saja menunjukkan ramai orang politik sama ada yang bersama kerajaan memerintah dan ada yang dari parti pembangkang. Yang pasti semuanya melayu tak kiralah dari pecahan mana pun mereka.

Yang punya kepentingan mahu memotong-motong ucapan Tun M mereka pastinya tidak senang dengan apa yang dah diungkap oleh Perdana Menteri berusia 93 tahun itu. Masakan tidak, roh ucapan Tun M tidaklah seperti yang mereka idam-idamkan.

Malah mereka pula rasa Tun M sinikal dalam ucapannya yang lebih dilihat banyak bercakap soal kelemahan bangsa melayu. Ada yang kata tak cukup perisa dan sebagainya. Begitulah rencam pemikiran dalam kemajmukan yang perlu kita rai bila hidup dalam lingkaran sistem demokrasi.

Jangan bila menyebelahi kita lalu kita akui bahawa perjuangan kita yang paling benar, dan bila sebaliknya kita menuduh orang itu liberal dan pro kepada bangsa lain.

Dalam ucapan kongres yang diadakan, Tun M menyentuh dasar pandang ke timur yang pernah digagaskan ketika kali pertama beliau diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia dulu. Pasca perang dunia ke-2, negara matahari terbit iaitu Jepun mengalami kejatuhan yang dahsyat, hancurnya bukan alang kepalang. Tapi lihat bagaimana negara itu bangun dangan bangkit hari ini menjadi sebuah negara yang maju.

Tak kurang dari segi kemajuan, negara ditimur yang dulunya miskin hari ini lebih laju memacu ekonomi hingga menjadi antara negara yang boleh bersaing dengan perkembangan barat. Kata Tun M, ada beza antara boleh buat dan mahu buat.

Bangsa melayu kata Tun M dibayangi dengan ketakutan dan sikap berpilih-pilih dalam membangun negara. Usikan yang disebut oleh Tun M adalah kita lebih malu dengan gaji RM1,100 sebulan tetapi tak malu untuk menerima RM500 setahun. Begitulah perumpamaan yang mungkin lebih mudah difahami.

Menyalahkan bangsa lain bukan jalan pintas untuk kita menidakkan kelemahan kita. Hidup dalam sindrom penafian hanya mampu mengubat dalam waktu yang singkat. Begitulah kiasan Tun M yang sarat dengan mesej bahawa tatacara hidup kita harus berubah.

Maruah kita bukan tercapai kerana kerajaan menolong kita atau memberi peluang kepada kita, tetapi maruah kita adalah bergantung kepada pencapaian kita. Kalau kita menjadi mangsa yang mampu membuat segala-galanya, mampu berkerja dan mengeluarkan barangan tertentu, lalu kita menjadi kaya, tiada siapa yang akan menghina dan menjatuhkan maruah kita.

Mungkin kita semua perlu membaca keping-keping kertas yang ditulis oleh Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba dalam naskah Perangai Bergantung pada Diri Sendiri.

Muhammad Syafiq Azmi