Bukan Singapura sahaja ada undang-undang berita palsu

Singapura bukan semata-mata mempunyai undang-undang sendiri bagi bagi menangani berita palsu kerana terdapat juga negara lain mempunyai undang-undang mereka sendiri bagi mengekang penyebaran maklumat palsu.

Di samping itu, peruntukan undang-undang adalah berbeza antara negara-negara.

Mulai semalam, Singapura telah menguatkuasakan undang-undang baharu iaitu Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA).

Ahli ekonomi, Song Seng Wun daripada Perbankan Persendirian CIMB, berkata undang-undang republik itu kini dikemaskinikan selaras dengan perkembangan teknologi dalam kaedah penyebaran berita.

“Cara komunikasi sesuatu maklumat telah berubah. Undang-undang perlu dikemaskinikan selaras dengan perkembangan tersebut,” katanya kepada Bernama di sini.

Loading...

Mengenai bagaimanapun akta POFMA dapat mencerminkan Singapura sebagai hab kewangan secara positif, Song berkata akta tersebut adalah relevan tanpa mengambil kira status negara itu sebagai hab kewangan atau sebaliknya.

Beliau berkata akta tersebut disasarkan dan ia menghukum mereka yang mencipta dan menyebar berita palsu di semua sektor.

Pengenalan akta POFMA, katanya, sempadan, peraturan dan undang-undang ternyata jelas dan dikemaskini khusus untuk wira papan kekunci (keyboard warrior).

“Ia lebih terarah kepada mereka khususnya wira papan kekunci supaya berfirkir terlebih dahulu sebelum menekan butang hantar,” katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Olimpik pertama Singapura, perenang Joseph Isaac Schooling menyatakan kepentingan dalam menangani isu kepalsuan dalam talian kerana beliau sendiri menjadi mangsa berita palsu.

Hanya pada tahun lalu, katanya, wujud iklan dalam talian yang disebar bertajuk “Schooling Reveals His Genius Wealth Strategies” (Schooling Dedah Strategi Kekayaaan Pintarnya) dan “What Schooling Is Doing With All His Wealth” (Apa Schooling Melakukan Dengan Semua Kekayaannya).

“Saya benar-benar menghadapi kesulitan apabila mengetahuinya,” katanya dalam Facebook miliknya pada 9 Mei tahun lalu, sehari selepas rang undang-undang itu diluluskan selepas perbahasan maraton selama dua hari di Parlimen.

“Pelaku ini salah gunakan nama dan imej saya untuk menyebarkan kepalsuan. Saya tidak pernah mengesahkan atau bersetuju dengan mana-mana iklan ini dan amat bimbang bahawa sahabat-sahabat saya akan menjadi mangsa penipuan dengan melakukan pelaburan…dengan beranggapan saya mengumpul kekayaan menerusi skim ini.

“Adalah menakutkan hanya memikirkan tentang akibatnya terhadap kepalsuan yang tersebar dan berapa banyak kerosakan yang boleh dilakukan terhadap saya, sahabat dan keluarga saya,” katanya.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah berkata masalah berita palsu berhubung kenyataan sengaja dipalsukan disebarkan secara meluas dalam talian dan ia adalah masalah serius yang dihadapi oleh banyak negara.

“Singapura bukanlah satu-satunya negara yang menggubal perundangan berhubung isu ini. Perancis turut melakukan dan juga Jerman dan Australia turut merlakukan sesuatu yang serupa dan sangat ketat. Orang British juga berfikir untuk melakukan perkara seperti ini,” katanya.

Singapura telah membahaskannya hampir dua tahun dengan pembentangan rang undang-undang POFMA untuk bacaan kali pertama di Parlimen, April lalu.

Perjalanan untuk membuat deraf undang-undang bermula pada Januari 2018 apabila Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Kepalsuan Dalam Talian Secara Sengaja – Punca, Akibat dan Langkah Menanganinya.

Jawatankuasa tersebut mengadakan sesi pendengaran awam secara intensif selama lapan hari pada Mac 2018 dengan melibatkan individu daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara, badan bukan kerajaan, kumpulan agama, ahli akademik hingga kepada dunia korporat.

Antara yang terlibat Facebook, Twitter, Gabungan Internet Asia, Singtel dan Starhub dan jawatankuasa tersebut turut menerima170 representasi bertulis.

Jawatankuasa tersebut kemudian menerbitkan ringkasan eksekutif pada September 2018.

BERNAMA