Kerajaan peruntuk RM2.5 bilion bangunkan pakej prasarana di PIPC

pipc_1508821347
Kerajaan persekutuan memperuntukkan kira-kira RM2.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan 11 untuk membangunkan 25 pakej projek pembangunan prasarana, utiliti dan kemudahan masyarakat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan kawasan sekitarnya.

Daripada jumlah tersebut, RM1.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk membina rangkaian jalan baharu dan menaik taraf jalan raya sedia ada.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata jajaran jalan persekutuan di PIPC sepanjang 23.8 kilometer (km) yang dirasmikannya hari ini adalah satu daripada rangkaian terbabit.

“Jajaran hari ini yang merangkumi empat pakej dibangunkan dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.139 bilion dan telah giat dilaksanakan sejak Jun 2016 dan siap secara berperingkat sehingga September tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian jajaran jalan itu di sini.

Jajaran itu terdiri daripada Jalan FT 92 – sambungan jalan sedia ada dari Kota Tinggi, dengan kerja menaik taraf bermula Simpang Tol Senai Desaru Expressway Bandar Penawar ke Sungai Rengit sepanjang 27km.

Loading...

Tiga lagi jajaran pula adalah Jalan FT 90 – sambungan Jalan Persisiran Desaru sedia ada, dengan pembinaan jalan baharu bermula dari Pekan Sungai Rengit ke Bulatan Jalan Pularek sepanjang 11.9km; Jalan FT 409 Jalan Punggai – Jalan Baru sepanjang 7.1km dan Jalan FT410 Jalan Bukit Buluh – Jalan Baru sepanjang 4.7km.

Baru berkata selain membina empat pakej jalan raya itu, kementerian turut menaik taraf Jalan Persekutuan FT92 dari Bandar Penawar ke Sungai Rengit yang melibatkan jalan dua lorong kepada empat lorong sepanjang 28km.

Selain itu, satu jalan baharu empat lorong dua hala menghubungkan Jalan Persekutuan FT92 ke PULAREK sepanjang 15 kilometer turut dibina.

“Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM729.3 juta bagi kedua-dua projek tersebut,” katanya.

Baru berkata semua usaha itu dilakukan kerana kerajaan komited untuk menyediakan infrastruktur sokongan yang bermutu tinggi kepada PIPC yang akan muncul sebagai hab industri pemprosesan minyak dan juga kepada para penggiat industri dan masyarakat sekitarnya.

Sementara itu, pada sidang media, Baru yang ditanya mengenai kajian untuk menghapuskan tol memaklumkan bahawa kajian sudahpun selesai dilakukan dan hanya menunggu untuk Kabinet membuat keputusan mengenai saranan yang diberikan.

“Kajian tol (keputusan hasil kajian tol) belum lagi diputuskan oleh jemaah menteri dan saya harap ia akan dibentangkan dalam Kabinet. Kita tunggu keputusan yang dibuat,” katanya.

BERNAMA