Risau tak dapat bicara adil, Tengku Adnan mahu hakim tarik diri dengar kes

download (94).jpg
Perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dijadualkan hari ini ditangguhkan berikutan pihak pembelaan memfailkan notis usul supaya Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar kes itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memfailkan notis usul semalam (18 Sept) selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.

“Dalam permohonan itu, pihak pembelaan mengusulkan kepada mahkamah untuk suatu perintah iaitu agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes ini dan kes ini di pindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain serta lain-lain relif yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah,”katanya.

Beliau berkata permohonan itu dibuat berikutan pada 17 Sept lepas ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon ,71, menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta.

“Alasan lain permohonan itu termasuk pemohon (Tengku Adnan) risau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil dari hakim dan mahkamah sama.

Loading...

“Pengakuan fakta kes dibentangkan pihak pendakwaan semasa pengakuan salah Tan juga dikhuatiri mempengaruhi hakim sedia ada (Mohd Nazlan).

“Selain itu, pemohon juga dimaklumkan menerusi laporan media bahawa Tan bersetuju untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan terhadap notis usul itu.

“Pihak pendakwaan telah menerima notis usul itu semalam pada 4 petang dan pihak kami akan mengemukakan afidavit balasan,“ katanya.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan esok (20 Sept) untuk mendengar permohonan itu dan pihak pendakwaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 3 petang ini.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah Tengku Adnan dan Tan dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, pada 17 Sept lepas didenda RM1.5 juta oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta, di tempat dan tarikh sama.

BERNAMA