Konsep Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan Tidak Akan Bersaing Dengan Muafakat Umno dan PAS

KONSEP Rahmatan lil alamin yang diperkenalkan Pakatan Harapan tidak akan bersaing dengan naratif perpaduan ummah yang dipromosi Umno dan PAS, kata Mujahid Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pertandingan sedemikian hanya akan membawa kerosakan dan tidak akan membantu negara maju ke hadapan.

“Ia bukan tentang pertandingan. Ia tentang satu dasar yang mahukan negara ini bergerak ke hadapan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kelebihan konsep Rahmatan lil alamin untuk menandingi perpaduan ummah yang dibawa oleh Umno dan PAS.

Kerjasama perpaduan ummah itu diumumkan sebagai langkah untuk mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya.

Piagam PAS dan Umno menyebut kerjasama itu sebagai sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Konsep Rahmatan lil alamin yang akan dibentang ke Kabinet pula menggariskan tiga teras utama sebagai naratif baharu bagi menjamin keharmonian antara kaum dan agama.

Ia mengutamakan Islam sebagai agama rahmatan lil alamin dan tujuan syarie maqasid syariah yang bukan hanya menumpukan undang-undang Islam tetapi juga soal keadilan dan kemanusiaan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata kerajaan sudah mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja untuk menjadikan konsep Rahmatan lil alamin sebagai dasar rasmi kerajaan.

Persetujuan sama dinyatakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), katanya.

“Secara tidak rasmi sudah jalan dari segi kesedaran. Cuma untuk jadikan sebagai satu dasar rasmi, kita akan bentang di peringkat kabinet.

“Di peringkat Majlis Raja-Raja dan MKI sudah selesai. Majlis Jemaah Menteri sahaja yang nanti akan diterjemahkan dalam bajet, program untuk tahun 2020,” ujarnya.

Mujahid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Katanya, semua kertas kerja pembentangan itu akan dibukukan dan satu resolusi akan dikeluarkan termasuk usaha untuk membawa konsep ini ke peringkat antarabangsa.

“Hasil seminar satu hari tidak akan boleh mengubah seluruh negara tetapi sekurang-kurangnya langkah ke arah itu sudah pun bermula.

“Akan ada resolusi di hujung seminar ini nanti yang akan menterjemah apa yang kita harapkan termasuklah membawa dasar ini ke peringkat antarabangsa,” ujarnya. – 19 September, 2019.