Firma Finland-Rusia ZYFRA sasar labur RM2.1 juta dalam IR4.0 Malaysia

Zyfra-2.jpg

Syarikat teknologi Finland-Rusia, ZYFRA menyasarkan pelaburan sebanyak US$500,000 (RM2.1 juta) bagi menawarkan penyelesaian untuk syarikat tempatan yang memulakan usaha Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Pengarah Urusannya, Pavel Rastopshin berkata teknologi IR 4.0 itu juga berpotensi menjadi antara teras hubungan dua hala Rusia-Malaysia berikutan kedua-dua itu memiliki kemudahan perindustrian yang luas.

“Kami optimis apalagi menyaksikan kehadiran Malaysia buat pertama kali di edisi kelima Forum Ekonomi Timur 2019 di Vladivostok pada tahun ini dan kedua-dua negara telah berkongsi kesediaan untuk menyokong kerjasama dalam aspek teknologi.

“Peralihan kepada pembuatan berasaskan digital dapat membantu menjadikan proses pengeluaran dan pengurusan yang lebih telus, meningkatkan kecekapan selain memenuhi matlamat mampan,” katanya kepada Bernama.

Loading...

Mengikut kajian perniagaan bersama Microsoft dan IDC Asia/Asia Pasifik, transformasi digital dijangka menyumbang sejumlah US$10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2021 selain meningkatkan pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus setahun.

Kerajaan Malaysia telah menetapkan rancangan untuk meraih pelaburan bernilai RM33 bllion bagi sektor teknologi internet pelbagai benda (IoT) termasuk IoT perindustrian.

Syarikat berpejabat di Rusia itu telah membantu lebih 270 syarikat untuk beralih daripada Industri 2.0 kepada 3.0 dan seterusnya ke arah Industri 4.0 menerusi pelaksanaan penyelesaian berdasarkan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Igor Bogachev berkata ZYFRA kini dalam proses membuka pejabat di Kuala Lumpur dan berhasrat mendapatkan khidmat lebih ramai pasukan teknikal selain dapat memperkukuh kehadiran syarikat itu di negara ini.

“Bagi peringkat awal ini, kami bermula dengan lima kakitangan dan akan menawarkan lebih banyak jawatan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata bagi sektor minyak dan gas (O&G), ZFYRA kini membida tiga tender syarikat O&G bagi menawarkan penyelesaian perisian pam tenggelam elektrik (ESP).

Syarikat-syarikat O&G itu memerlukan penyelesaian digital bagi operasi huluan dan hiliran masing-masing.

“Perisian ESP kami berupaya membantu mencapai kecekapan sehingga 10-20 peratus bagi mesin khusus projek dan kami juga mempunyai penyelesaian bagi peringkat huluan dan hiliran tersebut.

“Sebagai contoh, penyelesaian geomekanik ZFYRA yang digunakan bagi tujuan eksplorasi sebelum penggerudian manakala mesin pemantauan untuk kemudahan kilang penapisan,” katanya.

Unit perisian ESP itu juga terbukti efektif apabila berupaya meningkatkan pengeluaran sebanyak 1.5 peratus, meningkatkan perolehan tambahan sebanyak US$2 juta manakala sistem penyelesaian ZYFRA untuk pengoptimuman penggerudian masa sebenar juga berupaya meningkatkan kapasiti penggerudian produktif sebanyak 40 peratus.

BERNAMA