Malaysia mahu tarik Kawasaki , Mitsubishi buka hab keusahawanan aeroangkasa – Redzuan

24Mohd_Redzuan_Md_Yusof.transformed.jpg
Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sedang menimbang kemungkinan membawa masuk Kawasaki Heavy Industries Ltd dan Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun ke Malaysia untuk membuka hab keusahawanan aeroangkasa di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata satu mesyuarat telah diatur dengan dua gergasi industri berat Jepun itu semasa lawatan beliau ke Aeromart Nagoya 2019, konvensyen perniagaan bagi industri aeroangkasa, yang akan berlangsung dari 24-26 Sept, 2019.

Acara tiga hari itu akan diadakan di Nagoya, ibu kota Aichi Prefecture, pusat pembuatan utama bagi industri aeroangkasa Jepun.

“Kami sedang menimbang kemungkinan menjadikan Malaysia hab bagi komponen aeroangkasa dengan membawa masuk tenaga kerja dari syarikat seperti Mitsubishi atau Kawasaki ke Malaysia, sekiranya mereka berminat,” katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program “International Entrepreneurial Engagement: Malaysia Looking East, Japan 2019” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), di sini, hari ini.

Loading...

Menurutnya, Duta Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa juga telah dimaklumkan mengenai idea itu dan beliau sangat berminat untuk melihat ia dijadikan sebagai satu realiti.

“Jadi, daripada mesyuarat itu, kita akan melihat isu-isu seperti sejauh mana kemajuannya, apakah insentif yang kita boleh tawarkan, apakah proses birokrasi yang kita boleh tangani, serta apakah pasaran sasaran bersama kita dari segi menyokong industri penerbangan di Asia,” kata Mohd Redzuan.

Beliau berkata kementerian itu juga menggalakkan pelabur Jepun untuk memanfaatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia, membantu meningkatkan kemahiran jurutera automotif tempatan kepada jurutera aeroangkasa, dan mengukuhkan kerjasama mereka dengan pemain industri aeroangkasa tempatan.

“Ketika ini, kita telahpun mempunyai beberapa syarikat yang mengeluarkan bahagian-bahagian dan komponen pesawat bagi Airbus, Boeing dan jet persendirian,” katanya.

Mengenai misi ke Nagoya, Mohd Redzuan berkata delegasi itu akan disertai para pegawai daripada unit MED, serta pemain industri aeroangkasa tempatan.

— BERNAMA