Malaysia kutuk rancangan Netanyahu

EEMBx2nU8AEdeb4.jpg
Malaysia hari ini mengutuk keras kenyataan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung rancangannya untuk memperluaskan pendudukan negara itu di Wilayah Palestin di Tebing Barat.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu akan menjejaskan sebarang usaha untuk membawa penyelesaian jangka panjang dan keamanan di Timur Tengah.

“Ia memperlihatkan bahawa langkah Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini pastinya perkembangan yang berbahaya yang menuntut perhatian penuh komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang diduduki Israel secara haram selama beberapa dekad lamanya sehingga sekarang.

Loading...

“Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk bertindak tegas terhadap sikap negara itu yang jelas tidak menghormati peraturan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Netanyahu dilaporkan telah mengumumkan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya beliau dipilih semula pada pilihan raya minggu depan.

BERNAMA