Kaedah gabung sawah dapat hapus kemiskinan di kalangan pesawah padi – Dr Mahathir

image (6)
Masalah kemiskinan yang membelenggu golongan pesawah padi akan hanya dapat diatasi jika mereka bersedia menerima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata mempelajari dari kejayaan pengabungan tanah industri getah dan kelapa sawit, pemilik-pemilik tanah sawah kelak akan dapat melaksanakan penanaman padi secara besar-besaran dengan melibatkan kepakaran dan kemahiran pertanian.

“Dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh kerajaan, kita percaya tenaga mahir dan terlatih boleh sumbang kepada industri padi dan menghapuskan kemiskinan,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.

Menurutnya pendekatan baharu itu akan turut melibatkan penggunaan jentera moden selain memaksimumkan guna tanah dengan memperuntukan sebahagian kawasan untuk penanaman sayur-sayuran dan penternakan haiwan.

“Jika cara ini diterima, saya yakin pesawah tidak akan lagi kekal dalam kemiskinan. Hari ini kita mengimport (makanan) RM60 billion. Dengan menggunakan teknik moden, tanah yang luas tidak diperlukan… hasilnya tetap lebih banyak dan akan dapat menggantikan sayur-sayuran yang diimport,” katanya.

Loading...

Dr Mahathir berkata hala tuju industri padi negara bukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan golongan pesawah tetapi juga untuk memastikan golongan ini akan dapat terus membekalkan makanan ruji ini dan menyelamatkan rakyat daripada bahaya kekurangan makanan.

Katanya golongan ini perlu memiliki sikap menggunakan ilmu mereka untuk meningkatkan pendapatan bagi melepaskan diri dari belenggu kemiskinan dan menganggap usaha ini sebagai satu tuntutan agama yang perlu dipenuhi.

“Menanam padi, membekal makanan, menyelamat kita daripada bahaya kekurangan makanan adalah satu ibadat juga. Bagi orang Islam, inilah ibadat yang perlu kita utamakan,” katanya.

Beliau turut meminta golongan pesawah untuk meninggalkan sikap terlalu bergantung kepada subsidi dari kerajaan dengan menggantikannya dengan sifat ingin memperbaiki keadaan hidup mereka supaya menjadi lebih baik lagi.

“Kita boleh salahkan orang lain kerana kemiskinan kita tetapi mereka (orang lain) tidak akan berusaha untuk mengubah nasib kita. Sebaliknya kita berkuasa ke atas diri kita dan boleh mengubah cara kita dari yang buruk kepada yang baik,” katanya.

— BERNAMA