Agong perkenan Putera Edward dari Britain mengadap

c206241b9669aafe9b5c7ae8c441f2455d7756fa2ac2d
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima mengadap Putera Edward, Britain di Istana Negara.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Earl of Wessex itu sedang melakukan lawatan dua hari ke Malaysia, sebahagian dari siri lawatan beliau ke Australia.

Ini adalah pertemuan kali pertama antara Yang di-Pertuan Agong dan seorang anggota kerabat diraja Britain sejak Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI pada Januari.

Jadual lawatan Earl ke Malaysia termasuk menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh International Award dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Loading...

Beliau juga dijadual menyertai meja bulat belia bagi membincangkan nilai pendidikan tidak formal.

Sebagai naib-patron Sukan Komanwel, Prince Edward akan dibawa menyaksikan atlet Malaysia beraksi menjelang Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Dalam kenyataan dikeluarkan sebelum lawatan itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay berkata lawatan itu akan meliputi bidang kepentingan yang luas – dari pendidikan dan perkongsian kesukanan kepada usaha bersama menangani bahan plastik buangan dan memulihara lautan.

Earl akhir sekali melawat Malaysia pada 2004, juga berkaitan Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Beliau adalah putera bongsu Queen Elizabeth II Britain dan Duke of Edinburgh.

— BERNAMA