Hentikan tindakan boikot – Patriot

Pihak yang terlibat dalam kempen pemulauan atau boikot barangan buatan bukan Islam diminta menghentikan kempen itu.

Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata ini kerana kempen itu hanya akan memecahbelahkan rakyat dan menghindar kemajuan ekonomi negara.

Beliau berkata masih banyak isu ekonomi yang perlu diberi perhatian seperti kadar kemiskinan, pengangguran dan hutang isi rumah.

“Pihak Patriot sebagaimana yang telah berulang kali dinyatakan, ingin mengingatkan semua rakyat akan pentingnya kita berfikir sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sepatutnya menggunakan kekayaan dan kedudukan mereka bagi menjana peluang pekerjaan dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Loading...

“Yang penting adalah pencapaian agregat pendapatan per kapita negara yang tinggi,” katanya.

BERNAMA