6 Sept tarikh akhir LHDN dan Najib failkan afidavit

lhdn_najib.pngMahkamah Tinggi di sini hari ini memberi masa sehingga 6 Sept untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Datuk Seri Najib Tun Razak menfailkan afidavit masing-masing dalam permohonan mereka berhubung kes saman yang dikemukakan LHDN terhadap bekas perdana menteri itu bagi menuntut cukai pendapatan RM1.69 bilion.

Ketika ditemui media, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Bache di dalam kamarnya ketika pengurusan kes itu hari ini.

“Hari ini berhubung dua permohonan, iaitu permohonan kami bagi penangguhan prosiding dan permohonan LHDN bagi penghakiman terus.

“Jadi hari ini hanya pengurusan kes, untuk menentukan tarikh pemfailan afidavit, kami diberi masa sehingga 6 Sept untuk memfailkan semua afidavit.

“Pada tarikh (6 Sept) itu, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi kedua-dua permohonan (penangguhan dan penghakiman terus),” katanya dan menambah hari ini adalah kali pertama kedua-dua pihak hadir di hadapan hakim.

Loading...

Sebelum ini kes itu ditetapkan bagi pengurusan kes melalui e-review (forum dalam talian sistem e-Kehakiman yang membolehkan pegawai kehakiman dan wakil perundangan dalam sesuatu kes untuk menjalankan pengurusan kes melalui pertukaran mesej bertulis tanpa perlu hadir ke mahkamah) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

LHDN diwakili Timbalan Peguam Cara Hasil Abu Tariq Jamaluddin dan Raja Kamarulzaman Raja Musa dan juga Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad.

Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1973 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dibangkitkan.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut Najib membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

BERNAMA