Marilah bersatu ke arah Malaysia baharu – Kit Siang

limkitsiang-ph2Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa rakyat Malaysia untuk bangkit menentang anasir-anasir yang mengancam untuk memecah belahkan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini.

Beliau berkata mereka sebaliknya harus kembali bersatu untuk membina sebuah Malaysia Baharu yang akan menjadi negara bertaraf dunia yang memupuk perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak harus melupakan objektif ini.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan gabungan PH di Putrajaya telah berjaya mengharungi selama 15 bulan pelbagai tekanan dan ketegangan serta percanggahan dan kontroversi ke arah membina Malaysia Baharu.

“Tetapi ini hanyalah ujian kecil kerana ia mesti dapat bertahan dan bersatu dan teguh menghadapi cabaran lebih besar dalam misi nasional untuk membina Malaysia Baharu dengan memenangi pilihan raya umum ke-15 dan ke-16,” kata ahli politik veteran itu.

Loading...

Lim berkata ada pihak yang tidak menjangkakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan – gabungan empat parti politik dengan sejarah dan ideologi yang berlainan – dapat bertahan lebih daripada beberapa bulan.

Tetapi ia telah membuktikan bahawa jangkaan itu salah malahan gabungan itu berjaya menyatukan rakyat untuk memacu negara dengan mengharungi detik-detik yang mencabar ke arah Malaysia Baharu.

Lim berkata ini adalah misi nasional yang melibatkan lebih daripada satu pilihan raya umum untuk mencapainya.

BERNAMA