Hab penternakan lembu sado boleh dibangunkan di Terengganu – Azmin

33c6e16a3c1abc27ed1b859b8db862455d553dab29e36

Kerajaan komited mewujudkan hab penternakan lembu sado secara besar-besaran di Terengganu, bagi memenuhi keperluan pasaran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya perkara itu boleh direalisasikan, melalui beberapa perancangan yang digariskan kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri, dan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang berlangsung di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pagi tadi.

“Ramai di kalangan pengusaha ini adalah mereka yang berpendapatan rendah (kategori B40)…sudah tentulah memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk ternakan mereka.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dan kerajaan negeri, untuk sediakan sokongan bagi memastikan diwujudkan satu hab, bagi membolehkan pemasaran ini dilakukan dengan lebih berkesan dan memberikan pulangan yang baik, kepada pengusaha lembu sado di Terengganu,” katanya.

Loading...

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat ternakan lembu sado di Kampung Cepoh dekat Kuala Telemong di sini, hari ini. Ia merupakan salah satu program dalam lawatan kerja sehari Azmin di Terengganu hari ini.

Azmin berkata ketika ini terdapat kira-kira 200 individu yang mengusahakan ternakan lembu sado secara kecil-kecilan di Terengganu, dan ketika ini pengusaha hanya melakukannya secara persendirian.

“Peranan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Jabatan Veterinar amat penting untuk memberikan galakan, sokongan insentif dan juga sediakan infrastruktur yang lebih baik, menggunakan teknologi-teknologi terbaharu supaya hasil dan produk yang dikeluarkan itu boleh memasuki pasaran eksport.

“Terengganu mempunyai tanah yang masih luas dan boleh dioptimumkan untuk menjadi hab penternakan lembu sado ini. Saya dimaklumkan ketika ini pengusaha terpaksa menyewa tapak ternakan dari keluarga, dan waris. Jadi sekiranya kerajaan negeri boleh cari tapak yang sesuai untuk penternakan lembu sado pada skala lebih besar ini, saya yakin ia memberi manfaat bukan sahaja kepada pengusaha, juga kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri sangat komited mahu membantu rakyat Terengganu menjana pendapatan melalui tiga bidang iaitu penternakan, pertanian, dan perikanan.

“Kita telah lancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 baru-baru ini, untuk memanfaatkan kira-kira 12,000 hektar tanah untuk tiga bidang ini yang belum diusahakan di seluruh negeri.

“Kita akan bincang dengan kerajaan pusat dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, bagaimana cara untuk memperkukuhkan lagi peranan negeri agar tiga bidang ini dapat dimanfaatkan di Terengganu,” katanya.

Pelan itu mempunyai enam teras yang mengandungi 61 strategi melalui 128 program, dalam misi mentransformasi pertanian Terengganu ke arah pemerkasaan sumber baharu, meningkatkan hasil Keluaran Dalam Negeri dan Negara Kasar secara holistik, bagi menjamin keselamatan makanan serta menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

BERNAMA