Kesedaran ibu bapa daftar anak OKU di Kelantan masih rendah – JKM

Kesedaran ibu bapa dan penjaga di Kelantan untuk mendaftarkan anggota keluarga mereka yang kelainan upaya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) masih rendah.

Pengarah JKM Kelantan Said Sidup berkata malu untuk mendaftarkan anak sebagai OKU dan kurang kefahaman mengenai keistimewaan pendaftaran menjadi antara faktor utama kebanyakan ibu bapa enggan mendaftarkan anak mereka.

“Tindakan ini secara tidak langsung akan menafikan hak keistimewaan dan bantuan anak OKU yang sepatutnya dimiliki dan diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Korban Aidiladha 2019 anjuran Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik serta Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Orang Kota Bharu Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Said berkata sehingga kini pendaftaran OKU di Kelantan masih rendah dengan hanya 39,733 orang telah berdaftar. Daripada jumlah itu, seramai 14,398 individu dikategorikan mengalami masalah pembelajaran, diikuti fizikal (12,816), mental (4,404), penglihatan (3,424), pendengaran (2,450), pelbagai (1,944) dan pertuturan (297).

Loading...

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata empat ekor lembu dikorbankan untuk meraikan kira-kira 200 penerima daripada golongan autisme dan Sindrom Down serta kalangan saudara baharu.

BERNAMA