TMJ dilantik Pemangku Raja Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik anakanda baginda Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja Johor.

Dalam satu catatan di laman Facebook rasmi baginda, Sultan Johor memaklumkan majlis pelantikan itu telah diadakan di Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan majlis sedang berlangsung, turut dikongsikan baginda dalam laman sosial berkenaan.

Turut kelihatan berangkat ke majlis itu ialah anakanda-anakanda baginda yang lain, serta menantunya Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Loading...

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan.

Sultan Johor bertitah Tunku Ismail diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas, dan mentadbir negeri Johor serta mempunyai semua kuasa yang diperuntukkan kepada Raja dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Baginda tidak menyatakan sebab mengapa pelantikan itu dibuat.

BERNAMA