Lapangan Terbang Pulau Pinang telah jalankan kerja pembersihan, baik pulih akibat ribut

Kerja pembersihan dan baik pulih telah dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas ribut melanda pulau itu pada Jumaat malam, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan, pengendali lapangan terbang itu berkata walaupun lapangan terbang itu mengalami kerosakan namun tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu.

‘’Pasukan krisis kami telah menilai kerosakan dan bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan pembersihan sepenuhnya di terminal dan tiada serpihan di landasan terbang untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan selepas kejadian ribut itu,” katanya.

MAHB berkata antara kerosakan dialami dalam kejadian itu adalah sebahagian atap dan siling terkoyak serta pintu kaca dan tanda jalan yang pecah, dan menurutnya sebuah kereta juga dilaporkan terkena satu struktur yang rosak.

Loading...

Kejadian ribut itu turut menyebabkan 21 penerbangan terpaksa ditunda dan dua penerbangan dibatalkan.

Penerbangan yang ditunda itu melibatkan lebih 1,000 penumpang manakala 300 penumpang yang penerbangan dibatalkan telah diberikan kemudahan penginapan untuk malam itu.

— BERNAMA