Insafi pengertian korban demi perpaduan rakyat – Wan Azizah

Umat Islam di negara ini hendaklah menghayati pengertian di sebalik ibadah korban yang bukan sahaja dapat mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, tetapi juga memastikan umatnya sentiasa bersatu padu, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu akan dapat mengelakkan berlakunya perpecahan sekali gus memastikan martabat agama Islam itu sendiri terus terpelihara dan nasib umatnya akan terus terbela.

“Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat seterusnya memupuk semangat cintakan negara bagi mencapai keharmonian.

“Justeru itu, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan berpimpin tangan demi mengeratkan perpaduan berbilang bangsa seterusnya menterjemah budaya toleransi dalam konteks bermasyarakat,” katanya dalam perutusan Aidiladha, yang akan disambut esok.

Loading...

Dr Wan Azizah berkata peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran, Surah As-Saffat ayat 101 hingga 111 yang mengisahkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim AS menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail AS demi mentaati perintah Allah SWT adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba di dalam menjunjung perintah Penciptanya.

“Sesungguhnya dalam memaknai perjuangan dan pengorbanan itu tidaklah semudah ungkapan tetapi memerlukan keazaman yang tinggi dan kecekalan untuk menterjemahnya dalam bentuk pelaksanaan,” katanya.

BERNAMA