‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2019

Kerajaan memutuskan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata tema itu diharap dapat memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

“Kerajaan juga telah memutuskan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lepas sebagai logo rasmi sambutan pada tahun ini dengan tambahan tema baharu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata lagu ‘Malaysia Bersih’ akan menjadi lagu utama sambutan, namun lagu ‘Kita Punya Malaysia’ akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme, selain menyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kehidupan.

Loading...

Gobind turut mengumumkan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini akan diadakan di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 Sept depan.

Gobind yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 berkata majlis pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan diadakan pada Sabtu, 3 Ogos ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Beliau berkata majlis itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah di mana negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di Banda Hilir,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata pelbagai acara sempena sambutan Bulan Kebangsaan akan diadakan untuk menggelorakan semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia menunjukkan cinta setia kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh kebanggaan bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela. Ini secara langsung memupuk semangat perpaduan dan meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara bersepadu, meriah dan harmoni,” katanya.

BERNAMA