Tuduhan Ketua Pemuda Pas Melaka Mengarut

Tuduhan Ketua Pemuda Pas Melaka Mengarut

1. Ketua Pemuda PAS Melaka menuduh Sidang DUN Melaka sebagai ‘rubber stamp’ kononnya kerana Speaker DUN menolak usul yang dikemukakan oleh ADUN Serkam tanpa mengemukakan sebarang alasan. Tuduhan ini, seperti juga tuduhan-tuduhan beliau ke atas kerajaan negeri sebelum ini, adalah tuduhan yang dangkal serta tidak berasas.

2. Datuk Wira Speaker DUN telah secara jelas menyebut bahawa usul tersebut ditolak kerana tiada keperluan yang khusus untuk dibentangkan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Ini kerana isu yang dibangkitkan boleh dibawa terus ke Jawatankuasa Melcat yang turut dianggotai oleh ADUN pembangkang. Kenapa mahu tubuh jawatankuasa lain sedangkan bidang tugas tersebut telah sedia ada kepada Melcat yang diberi kuasa penuh secara undang-undang untuk menyiasat dan memanggil mana-mana agensi kerajaan untuk memberi keterangan dan mengemukan cadangan balas atau tindakan kepada pihak berkuasa?

3. Pemuda PAS dijemput untuk membuat aduan rasmi beserta bukti-bukti dakwaan sekiranya benar ada sebarang salahlaku di mana-mana agensi kerajaan di negeri Melaka kepada pihak Melcat.

4. Tindakan Ketua Pemuda PAS Melaka mengaitkan YAB Ketua Menteri Melaka dan seterusnya DAP dalam tuduhan dangkalnya terhadap keputusan Speaker DUN hanya menampakkan kejahilan beliau mengenai prinsip ‘separation of power’ antara badan legislatif dan badan eksekutif di dalam pentadbiran kerajaan. Andaian dan sangka buruk yang beliau zahirkan terhadap pihak lain berlawanan dengan akhlak Islam yang sepatutnya menjadi tonggak keperibadian seorang muslim.

5. Saya ingin menasihati Ketua Pemuda PAS Melaka supaya lebih cermat dan tidak melontarkan tuduhan secara sembrono tanpa pertimbangan akal yang waras.

Loading...

Sekian terima kasih.

‘Amanah. Progresif. Peduli’

Jamzuri Ardani
Pengarah Komunikasi
Amanah Melaka.
17hb Julai 2019