Siasat, pantau amalan ‘zikir berdiri’ di Jerantut

Siasat, pantau amalan ‘zikir berdiri’ di Jerantut

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau dakwaan ritual ‘zikir berdiri’ yang dikatakan berlaku di sebuah perkampungan di Jerantut dekat sini, minggu lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata perkara itu juga dalam siasatan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang difahamkan telah memanggil individu yang terlibat.

“Bagaimanapun, saya diberitahu pihak JAIP belum dapat bertemu mereka…. apa pun kita akan memantau dan menyiasat kerana berdasarkan video yang tersebar, kita mendapati ada perkara yang menggugat akidah.

“Ia dilihat seperti ajaran yang tidak betul dan tidak menepati syariat agama Islam, bagaimanapun kita masih belum dapat memutuskan apa aliran yang dibawa oleh kumpulan itu,” katanya.

Fuziah berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Program Lawatan Tapak dan Perasmian Projek Pembinaan Jambatan dan Baik Pulih Pam Air di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di Inderapura di sini, hari ini.

Loading...

Beliau berkata pihak terlibat juga sedang mengesan individu yang dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah dari Terengganu yang dikatakan membawa masuk ajaran itu ke kampung tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya mereka yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran atau individu terlibat untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi mengekang penularan ajaran tersebut.

Pada Sabtu lepas, tiga rakaman video berdurasi antara 15 saat hingga seminit 12 saat tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan jemaah lelaki dan wanita melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak jelas sebutannya.