Persatuan Peguam Syarie Gembira Apabila RUU Profesion Guaman Syarie Diluluskan

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) gembira apabila Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Presidennya, Musa Awang berkata, ini memandangkan persatuan sendiri daripada awal terlibat dalam usaha menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan bertujuan mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie di negara ini.

Pada masa sama beliau berkata, walaupun RUU hanya terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, PGSM berharap ia menjadi model undang-undang panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negeri-negeri.

“PGSM yakin dan percaya bahawa negeri-negeri akan mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing.

“Pihak PGSM melalui cawangan di negeri-negeri bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri ke arah merealisasikan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Musa, menyeragamkan undang-undang berkaitan profesion guaman syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme peguam-peguam syarie, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi mahkamah syariah.

“Apa yang lebih penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut.

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/gembira-undang-undang-perkasa-peguam-syarie-diluluskan-1.937661#.XSyH6DifEEk.whatsapp

“Dengan adanya undang-undang sedemikian, peguam syarie akan menjadi lebih fokus, lebih berkomitmen, lebih berintegriti dan lebih bertanggungjawab terhadap profesion mereka serta kepada anak guam,” katanya. – UTUSAN ONLINE