Melaka hasrat laksana kaedah ganjaran menyeluruh

Melaka hasrat laksana kaedah ganjaran menyeluruh

Kerajaan Negeri Melaka berhasrat untuk melaksanakan kaedah pemberian ganjaran secara menyeluruh termasuk kepada agensi yang tidak memungut hasil dan kakitangan peringkat bawahan yang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata inisiatif itu sebagai suntikan motivasi kepada golongan kakitangan awam di negeri ini yang menjalankan amanah dan mempunyai peranan masing-masing bagi mencapai KPI yang ditetapkan.

Beliau berkata setakat ini, ganjaran berkenaan hanya diberikan kepada agensi yang mencapai sasaran 100 peratus dari segi kutipan hasil melalui peruntukan kewangan.

“Kita berharap agar satu metodologi (kaedah) ganjaran yang lebih menyeluruh termasuk kepada agensi yang tidak memungut hasil dan kakitangan yang berpotensi tinggi dalam melaksanakan tugasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Loading...

Sementara itu, Adly berkata pihaknya akan mengkaji dan membuat penilaian bagi mewujudkan kawasan khas merokok di sekitar negeri ini dalam mengekalkan kebersihan dan kelestarian negeri ini.

Beliau berkata, penyediaan kawasan khas itu perlu bagi mengelakkan putung rokok yang dibiarkan bersepah akibat sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab terutama di lokasi tumpuan awam dapat diuruskan secara lebih sistematik.

“Kita menyokong usaha kerajaan berhubung zon larangan me­rokok di semua restoran dan premis makanan, tetapi pada masa sama tetap menitik beratkan aspek kebersihan dalam memacu Melaka menuju negeri maju fasa kedua,” katanya.