LKIM mohon Kementerian Kewangan beri subsidi minyak secara tahunan

LKIM mohon Kementerian Kewangan beri subsidi minyak secara tahunan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk memberikannya kuota bekalan subsidi minyak secara tahunan bagi diagihkan kepada nelayan seluruh negara dalam tempoh setahun atau sebanyak 720 juta liter.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata ia bagi membolehkan lembaga itu mengawal selia pengagihan kuota bekalan minyak dengan lebih baik mengikut keperluan nelayan di negara ini sepanjang tahun berbanding diberikan kuota tempoh sebulan atau sebanyak 60 juta liter.

“Keperluan (subsidi) minyak ini berubah mengikut musim, kadangkala dalam musim tengkujuh misalnya permintaan kurang, jadi di situ kita rugi dari segi pengunaannya (kuota bekalan bulanan).

“Jadi, kita dalam proses memohon (subsidi minyak nelayan mencukupi) untuk setahun supaya kita dapat menguruskan betul-betul (bekalan) minyak ini untuk kegunaan para nelayan,” katanya pada Sesi Engagement Bersama Pemimpin Nelayan dan Nelayan Dermaga di Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjong Bako, Jalan Kampung Tanjong Bako, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata ketika ini permohonan LKIM untuk diberikan kuota bekalan subsidi minyak nelayan sebanyak 720 juta liter yang mencukupi bagi tempoh setahun di seluruh negara sedang dalam pertimbangan pihak Kementerian Kewangan.

Loading...

Katanya Kementerian Kewangan telah memutuskan mengurangkan subsidi terbabit dari 90 juta liter sebulan kepada 60 juta liter sebulan.

Selain itu, pihaknya juga sedang menunggu Kementerian Kewangan memberikan peruntukan melaksanakan fasa kedua pembinaan kompleks Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako yang akan membabitkan pembinaan kilang ais, pusat pembaikan kapal dan kilang pemprosesan dengan anggaran kos hampir RM30 juta.

“Dalam industri perikanan, ais memainkan peranan penting untuk memastikan kesegaran ikan yang ditangkap dan dibekalkan, jadi masalah tiada kilang ais berdekatan menyebabkan kurangnya pendaratan ikan di sini (Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako),” katanya.

Katanya Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako mula beroperasi 1 Ogos 2018 dan ia antara pelabuhan terbaik dan termoden di negara ini dan juga di rantau Asia Tenggara dengan banyak kemudahan.

Antaranya jeti bot kecil, jeti bot tradisional, jeti pengisian minyak, kren pemunggahan ikan, ruang pembaikan dan penyimpanan pukat, stor penyimpanan kotak ikan, pejabat peniaga, bilik sejuk, bilik penyimpanan blok ais, ‘blast freezer’, bilik ‘ice flake’ dan ruang kualiti yang mematuhi piawaian eksport ke Kesatuan Eropah.