Kerajaan PH berusaha pulihkan jurang kewangan negara

Kerajaan PH berusaha pulihkan jurang kewangan negara

Genap usianya 94 tahun hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kemampuan untuk mengurangkan tekanan terhadap situasi kewangan Malaysia sebagai kejayaan membanggakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

Dr Mahathir yang diiktiraf sebagai perdana menteri tertua dunia berkata, tidak banyak negara yang berhadapan dengan situasi sama seperti Malaysia akan dapat mengatasi masalah itu.

“Saya berpendapat sudah banyak masalah kita kurangkan, masalah kewangan kita dapat tangani…tapi kita tidak lagi tertekan sangat dengan masalah kewangan kerana kita telah uruskannya dengan lebih cermat,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama Radio bersempena ulang tahun beliau.

Atas sebab itu, katanya Malaysia kini berada dalam keadaan tenang dan aman.

“…dan kita taklah tertekan sangat sehingga ada orang yang memberi pinjam kepada kita yang membuat tuntutan ke atas kita, menekan kita. Itu tidak berlaku,” kata perdana menteri.

Loading...

“Kita boleh tangani keadaan kewangan negara kita, ini sesuatu yang boleh dikatakan satu kejayaan,” tegas Dr Mahathir.

Selepas gabungan PH yang diketuai Dr Mahathir menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional, didapati negara dibebani dengan hutang berjumlah lebih RM1 trilion yang mendorong kerajaan berusaha keras mengatasi masalah ini.

Dr Mahathir berkata tahap keseriusan masalah kewangan yang dihadapi negara hanya didedahkan apabila beliau sekali lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Apabila kita berkuasa dan kita dapat melihat dari dalam, kita dapati bahawa masalah ini lebih besar (daripada yang diketahui umum) dan akan memakan masa sedikit (untuk diatasi),” katanya.

Antara langkah diambil kerajaan PH untuk mengurangkan masalah kewangan negara ialah mengkaji semula projek mega dan perjanjian terdahulu di bawah kerajaan sebelum ini, menjejaki dana 1MDB yang dicuri dan mengisytiharkan perang terhadap gejala rasuah.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa asas-asas pemulihan kewangan negara sudah pun diletakkan.

“Dalam jangka masa tiga tahun saya ingat masalah kita ini akan berkurangan tetapi belum sampai ke tahap ia dapat dipulihkan dengan mudah.

“Untuk pulih sehingga ke tahap nak jadi Harimau Asia, mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun,” katanya.