Kereta nasional atasi masalah kekurangan tenaga mahir bidang automotif

Kereta nasional atasi masalah kekurangan tenaga mahir bidang automotif

Pengeluaran kereta nasional bukan sahaja bertujuan untuk mengembangkan industri pembuatan di negara ini, malah menjadi platform melatih ramai tenaga mahir dalam bidang automotif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, industri automotif adalah antara industri yang boleh ada banyak tenaga mahir kerana sebuah kereta mempunyai 4,000 komponen yang kaedah pengeluaran dan pemasangannya perlu dipelajari.

“Sekarang kita tahu buat kereta dan bila kita tahu merekabentuk dan keluarkan kereta, kita juga belajar tentang kejuruteraan. Banyak langkah kita sudah belajar kerana satu industri sahaja,” katanya pada sesi dialog Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mengenai TVET sebagai satu kaedah efektif dalam menyelesaikan masalah jurang antara kemahiran pekerja dan kehendak industri automotif.

Dr Mahathir berkata, pemain industri automotif perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka supaya seiring dengan kecanggihan teknologi pengeluaran kenderaan masa kini.

Loading...

Berbeza dengan pengeluaran kereta pertama negara Proton Saga, beliau berkata pengeluaran kenderaan hari ini jauh lebih kompleks dengan melibatkan pemasangan sehingga 200 mikrocip komputer bagi membolehkan kereta dipandu dengan lebih mudah.

“Sekarang kita bukan sahaja pasang kereta tetapi kita oversee enjin atau robot yang pasang kereta, jadi bagaimana kita menyelia mesin ini juga menjadi satu kemahiran yang diperlukan untuk keluarkan kereta pada zaman ini.

“Sekarang kereta boleh jalan sendiri dan kita boleh bercakap dengan kereta suruh dia pergi sana sini. Proton Saga pertama tak boleh tetapi kalau beli Proton X70 kita boleh bercakap dengan kereta, kalau duduk seorang, orang kata gila,” katanya secara berseloroh.

Dr Mahathir berkata, industri lain seperti aeroangkasa juga memerlukan ramai tenaga kerja mahir memandangkan ia antara industri paling besar yang mengeluarkan komponen dengan Malaysia kini telah mengeluarkan sebahagian daripada komponen kapal terbang untuk Airbus dan Boeing.

Ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pertama kali diadakan pada 1991, tiada satu pun komponen keluaran Malaysia dipamerkan, tetapi kini hampir separuh daripadanya adalah barangan keluaran Malaysia.

“Saya yakin orang Malaysia ada kebolehan yang tidak kurang daripada bangsa lain, soalnya hendak atau tidak sahaja. Kalau tak mahu belajar, kita ketinggalan,” katanya.

Menyentuh mengenai tenaga mahir dalam industri kreatif, Dr Mahathir berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang diterajui Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik Mac lepas, perlu menggembleng usaha bagi memastikan kecanggihan peralatan penggambaran masa kini diterjemahkan dalam pengeluaran filem tempatan.

“There are lot of things that you can do (Ada banyak benda yang kita boleh lakukan). Saya yakin satu daripadanya kita lantik orang baru to head (untuk ketuai) FINAS. I hope you don’t failed us (Saya harap awak tidak hampakan kami) . Saya tak boleh tolong banyak sebab not creative like them… (tidak kreatif seperti mereka…) tapi saya kreatif dalam politiklah.

“The equipment today very (Peralatan sekarang ini amat) canggih, boleh buat segala-galanya. Sekarang patut belajar guna alat-alat ini dan baca buku cerita banyak-banyak,” katanya sambil berselorah pembikin filem tempatan tidak perlu terlalu banyak menghasilkan cerita hantu.