Muhyiddin, Zahid nafi tandatangan surat akuan bersumpah sokong peralihan jawatan PM

Muhyiddin, Zahid nafi tandatangan surat akuan bersumpah sokong peralihan jawatan PM

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menandatangani satu surat akuan bersumpah menyokong peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, surat akuan bersumpah bertarikh 2 Julai itu adalah palsu dan disifatkan bertujuan mencemarkan namanya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya telah menandatangani satu dokumen akuan bersumpah mengenai perlaihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial hari ini. Dokumen tersebut adalah palsu.

“Saya telah meminta polis agar menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Lewat petang tadi, tular di media sosial gambar dua surat akuan secara bersaingan yang masing-masing menyebut Muhyiddin dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong peralihan jawatan itu.

Loading...

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menerusi kenyataan di Facebook turut menafikan beliau telah menandatangani akuan bersumpah yang tular itu.

“…dengan tegas saya menafikannya. Saya tidak menandatangi surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya.