Mujahid Komited Membersihkan Agensi Demi Kepercayaan Masyarakat

Mujahid Komited Membersihkan Agensi Demi Kepercayaan Masyarakat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan, tujuan utama pihaknya melaksanakan projek pemulihan agensi-agensi berkaitan agama adalah untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap agensi  terlibat.

Semalam Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mendedahkan wujud kecuaian dan salah laku pentadbiran oleh pengurusan yayasan berkenaan sejak beberapa tahun lepas.

Dalam pendedahan itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata pihaknya mengenal pasti masalah berkenaan selepas firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dilantik, selesai menjalankan semakan tadbir urus.

Berhubung isu terbaru itu, Mujahid berkata, menjalankan siasatan terhadap sesebuah agensi menerusi firma audit yang dilantik adalah tugas biasa bagi ahli lembaga pengarah yang baharu.

“Sebenarnya sejak saya masuk sebagai menteri, memang kita ada satu dasar untuk membuat siasatan secara bebas terhadap agensi-agensi di bawah kita, dan sebagai contohnya siasatan terhadap Tabung Haji (TH).

Loading...

“Sekarang ini ada Yapeim, bermakna kita bertindak atas platform untuk memulihkan agensi-agensi berkaitan supaya kita dapat kembalikan kepercayaan orang ramai melalui projek pemulihan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Kempen Rahmah Masjid Alami (Masjid Lestari Hijau) Peringkat Wilayah Persekutuan, di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Mujahid berkata atas kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap agensi di bawah kendaliannya, pihak berupaya menjalankan tugas sebenar pembangunan Islam berdasarkan hasil sumbangan mereka ke dalam institusi terlibat.

Pada Ogos tahun lalu, Mujahid berkata, Yapeim adalah antara agensi yang berada dalam radar pihaknya dan tidak akan membiarkan penyelewengan berlaku.

Mohd Daud yang dilantik sejak November tahun lalu berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pengurusan Yapeim sejak beberapa tahun lepas.

Susulan itu, Yapeim bimbang dengan semua dapatan tersebut, namun berasa gembira dapat menyelesaikan urusan penelitian sebaik mungkin mengikut piawaian profesionalisme yang tinggi.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/mujahid-komited-laksana-pemulihan-agensi-demi-kepercayaan-orang-ramai/#more