Tiada kompromi pihak lakukan pencemaran sungai di Melaka

Tiada kompromi pihak lakukan pencemaran sungai di Melaka

Kerajaan negeri Melaka tidak akan berkompromi terhadap pihak terlibat melakukan pencemaran sungai, dan tindakan tegas akan diambil termasuk menghentikan operasi industri, aktiviti pertanian atau perikanan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas, telah ditubuhkan bagi memantau risiko pencemaran daripada industri atau kilang, perikanan, pertanian atau penternakan selain mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran berulang, sehingga memberi kesan kepada masyarakat setempat.

“Kebiasaannya kerajaan negeri melalui jabatan terlibat mengambil beberapa langkah awal terhadap pihak yang melakukan pencemaran sungai, termasuk notis peringatan supaya tidak berulang dan sekiranya ia tidak diendahkan, tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan atau undang-undang sedia ada termasuk menghentikan operasi mereka.

“Dalam isu pencemaran sungai di Sungai Batang Melaka minggu lepas, ia sesuatu yang serius, kerana melibatkan keperluan asas iaitu air yang mana sungai berkenaan merupakan salah satu daripada sumber bekalan air, memandangkan Melaka masih mendapatkan bekalan air dari Johor,” katanya kepada pemberita selepas Program Amanah Peduli Rakyat: Di Ambang Ramadan di sini, hari ini.

Semalam Bernama melaporkan pencemaran Sungai Batang Melaka berlaku ekoran pelepasan air dari kolam ternakan oleh dua pengusaha ikan keli di kawasan Hutan Percha dan turut menyebabkan pencemaran di Loji Rawatan Air Gadek yang dikesan pada 28 April lepas, serta mengakibatkan kira-kira 18,076 pengguna di daerah Alor Gajah terjejas.

Loading...

Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti aktiviti ternakan ikan keli mampu memberi risiko pencemaran, kepada sistem saluran sekiranya tidak ditangani sebaiknya, justeru itu, pengusaha disaran bertukar kepada penternakan ikan air tawar lain bagi mengelak tindakan tegas diambil, sekiranya terlibat dalam pencemaran sungai.

Pada program berkenaan turut diadakan Pasar Peduli, anjuran Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Melaka, yang melakukan jualan amal melibatkan pakaian terpakai dan barangan keperluan harian seperti minyak masak, gula, bihun dan tepung pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Menurut beliau Pasar Peduli AWAN akan diperluaskan di seluruh negeri itu, bagi memastikan penduduk setempat khususnya golongan kurang berkemampuan dapat membeli barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

“Kita di peringkat Parti Amanah Melaka telah menganjurkan Pasar Peduli ini sejak 2015, sebelum kita menjadi kerajaan lagi dan kita melihat sambutan yang amat baik daripada penduduk setempat dan inisiatif ini secara tidak langsung dapat meringankan beban rakyat. Kita akan adakannya di semua kawasan di negeri ini secara giliran,” katanya.

Sementara itu, ??Sahari Mat Dan, 41, dari Merlimau Pasir di sini berkata penganjuran pasar itu amat baik kerana penduduk setempat dapat membeli barangan keperluan asas pada harga yang murah, dan ia sekali gus memberi penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Kakitangan kerajaan itu berkata beliau hanya perlu membelanjakan RM5 untuk membeli dua paket minyak dan sepaket gula pasir.

Bagi seorang suri rumah Zaharah Samsuri, 52, dari Kampung Sempang berharap pasar berkenaan akan dianjurkan secara lebih kerap di daerah Jasin agar penduduk setempat dapat membeli barangan keperluan pada harga yang murah.