Perunding politik terima cek RM2.5 juta dari Najib untuk risikan dan perlindungan politik

Perunding politik terima cek RM2.5 juta dari Najib untuk risikan dan perlindungan politik

Seorang perunding politik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima cek RM2.5 juta dari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan perisikan dan perlindungan politik.

Datuk Habibul Rahman Kadir Shah, 62, pemilik HKS Consultant berkata beliau menerima cek itu pada 2 Feb 2015 dan juga meminta wang itu dimasukkan ke dalam akaun firma guaman, Zulqarnain & Co.

Habibul Rahman, yang merupakan saksi pendakwa ke-23 berkata beliau sengaja meminta supaya cek itu dikeluarkan atas nama Zulqarnain untuk mengelakkan cukai pendapatan kerana dana itu adalah untuk tujuan perlindungan politik.

“Saya menerima cek tersebut secara peribadi dari Najib di kediamannya di Putrajaya. Saya menggunakan wang itu untuk mengumpul maklumat risikan dan untuk tujuan politik,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ke-11 perbicaraan Najib berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta .

Habibul Rahman juga berkata bahawa dia tidak ingat sama ada cek itu ditulis di hadapannya.

Loading...

Saksi itu berkata beliau memberi cek itu kepada peguam Ashraf Abdul Razak yang sebelum ini berkhidmat dengan Zulqarnain & Co dan memintanya menyediakan beberapa cek untuk isterinya dan anak-anaknya manakala jumlah selebihnya disimpan untuk operasinya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai sama ada saksi itu telah bertanya kepada Najib tentang sumber RM2.5 juta itu, Habibul Rahman berkata beliau tidak berbuat demikian dan percaya bahawa dana itu adalah hasil sumbangan politik.

“Semua presiden pada masa lalu mempunyai dana politik mereka sendiri,” kata saksi itu, sambil menambah bahawa beliau menjadi ahli Umno sejak 1984.

Sementara itu, pemilik Solar Shine Sdn Bhd, Datuk Lew Choon Lai, 60, mengaku bahawa beliau menerima cek sebanyak RM1 juta daripada Najib pada 17 Feb 2015 di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Cek tersebut digunakan untuk membayar ‘goodies’ yang disediakan untuk beberapa acara,” katanya, sambil menambah cek itu dikeluarkan oleh Najib sendiri.

Lew, selaku saksi pendakwa ke-22 berkata, sebaik sahaja dia menerima cek itu, dia memberikannya kepada jabatan akaun di syarikatnya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee, saksi itu berkata bahawa dia menjalankan fungsi khidmat sukarela di bawah program 1Malaysia.

Muhammad Shafee: Jadi anda menganggap dana itu (RM1 juta) untuk kebajikan?

Lew: Ya.

Muhammad Shafee: Sejak bila anda mula menjalankan khidmat sukarela?

Lew: Saya bermula pada 2010 dan berhenti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.